Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan dakwaan bahawa kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak berasas.
Beliau berkata, PRN Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai adalah untuk memilih kerajaan negeri yang baharu, bukannya menentukan pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau mempengaruhi proses perundangan membabitkan Najib.
“Johor tiada kena-mengena dengan isu itu. PRN Johor adalah mengenai Johor. Kita negara berperlembagaan dan negara hukum. Tidak timbul kalau BN menang di Johor.
“Apa yang boleh dilakukan oleh seorang Menteri Besar untuk membebaskan Najib? Tiada apa-apa,” katanya.
Mohamad mengulas dakwaan beberapa pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) yang mengaitkan PRN Johor dengan usaha membebaskan Najib serta mendakwa pilihan raya itu diadakan lebih awal bagi membuka jalan untuk tujuan berkenaan.
Baca juga:
- ‘PRN Johor tiada kaitan usaha bebaskan Najib’ – Tok Mat
- Anwar dakwa PH diheret ke PRN Johor, isu pembebasan Najib jadi perhatian
- ‘Johor perlu berdiri sendiri, bukan lagi ‘feeder’ Singapura’ – Amirudin
Menurut beliau, kes membabitkan Najib adalah isu di peringkat Persekutuan yang perlu dihormati mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang negara.
Beliau turut menegaskan bahawa kuasa untuk memberikan pengampunan diraja terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan bukannya kerajaan negeri.
Mohamad turut menyuarakan keyakinan bahawa pengundi Johor memahami perkara itu dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dimainkan pihak tertentu sepanjang kempen PRN.
Sumber: Kosmo,NST









