Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak | The Reporter

Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak

Lelaki berkongsi kisah legasi arwah bapa dalam projek LRT2 dan LRT3
Pengguna Thread, Emir berkongsi gambar arwah bapanya ketika LRT2 dan dirinya sendiri ketika LRT3,

Di sebalik pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), tersimpan kisah menyentuh hati seorang lelaki yang kini meneruskan legasi arwah bapanya dalam industri pengangkutan rel negara.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, lelaki itu berkongsi dua keping gambar yang merakam perjalanan dua generasi dalam pembangunan sistem LRT di Malaysia.

Gambar pertama memperlihatkan arwah bapanya ketika menjalani latihan dan ujian sistem bagi projek LRT2 atau lebih dikenali sebagai Putra LRT, kini Laluan Kelana Jaya, di Vancouver, Kanada sekitar tahun 1997.

Menurutnya, bapanya merupakan antara individu yang terlibat pada peringkat awal pembangunan sistem berkenaan sebelum pulang ke Malaysia bagi menjayakan projek tersebut.

Berkongsi pengalaman sendiri, lelaki itu berkata dia kini mengikuti latihan serta proses testing and commissioning (T&C) bagi projek LRT3 untuk memahami keseluruhan sistem penyelenggaraan.

Katanya, pelbagai aspek teknikal perlu dipelajari sepanjang proses itu bagi memastikan operasi tren dapat dijalankan dengan selamat dan lancar apabila mula beroperasi.

Hantaran di Thread emir_tractiondrive yang mencuri perhatian ramai

Namun, di sebalik rasa bangga itu, terselit rasa pilu apabila arwah bapanya tidak sempat menyaksikan projek LRT3 siap sepenuhnya.

Dia juga memaklumkan, bapanya turut terbabit pada peringkat awal projek LRT3 sebelum bersara pada tahun 2021, namun meninggal dunia sebelum laluan tersebut mula beroperasi.

“Sayangnya arwah abah tak sempat tengok projek LRT3 siap walaupun dah involve masa awal projek sebelum pencen pada 2021,” tulisnya.

Tambahnya lagi, sepanjang hayat, arwah bapanya sering bertanyakan perkembangan pembinaan LRT3 setiap kali mereka berbual.

“Masa abah ada lagi memang kerap tanya progress LRT3. Macam kena jawab dengan bos-bos bila abah tanya,” katanya berseloroh.

Perkongsian itu turut mengundang perhatian netizen yang menyifatkan kisah berkenaan sebagai bukti legasi yang diteruskan daripada seorang bapa kepada anak, malah ramai mengaitkannya dengan peribahasa, “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”.

Related Posts