Tiada alasan untuk malas bekerja atau berputus asa mencari rezeki. Kisah dua beradik yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu menjadi bukti bahawa semangat dan kecekalan mampu mengatasi segala dugaan.
Perkongsian seorang pempengaruh di TikTok mengenai kehidupan dua beradik itu telah menyentuh hati ramai apabila memaparkan mereka gigih mengusahakan perniagaan Cendol Meleleh di sebuah gerai yang terletak di Kampung Tanjung Pasir, Temerloh, Pahang.
Menurut mereka, perniagaan tersebut dimulakan dengan niat untuk membantu meringankan beban bapa yang bekerja melakukan kerja-kerja kampung bagi menyara keluarga.
Selain kisah ketabahan mereka, gerai itu turut menjadi perhatian kerana menawarkan cendol dengan keunikan tersendiri. Cendol yang dihasilkan menggunakan resipi sendiri itu disediakan dengan cara berbeza apabila air gula diletakkan di bahagian atas hidangan, berbanding kebiasaan peniaga lain
Detik hitam kemalangan
Menceritakan detik hitam yang mengubah kehidupan mereka, kedua-duanya berkata kemalangan itu berlaku pada tahun 2024 apabila mereka dirempuh sebuah kereta sebelum tercampak ke bawah sebuah lori dari arah bertentangan.
“Kami kena langgar dengan kereta. Dari arah bertentangan ada lori dan lori itu tidak sempat mengelak sebelum kami masuk ke bawah lori,” kata mereka.
Akibat kemalangan itu, kedua-dua beradik terbabit kehilangan sebelah kaki. Namun, mereka bersyukur kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan.
“Alhamdulillah, kami masih dapat teruskan hidup. Setakat ini kami tidak rasa down. Kami anggap macam biasa sahaja.
“Cuma kadang-kadang kaki terasa lenguh apabila ramai pelanggan datang,” katanya.
Baca juga:
- LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor zahir penghargaan kepada Najib dan Anwar
- Hilang sebelah kaki bukan penghalang, dua beradik gigih usahakan Cendol Meleleh
- ‘Dulu BN buat, dilabel macam-macam, sekarang tukar nama je’ – Wee Ka Siong
Menurut mereka, sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia menjadi pembakar semangat untuk terus bangkit dan meneruskan perniagaan walaupun berdepan kekurangan fizikal.
“Apa yang buat kami lebih bersemangat ialah sokongan dan kata-kata semangat daripada rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Gerai Cendol Meleleh itu beroperasi setiap hari bermula 12 tengah hari hingga 6 petang, kecuali setiap Isnin.
Kisah dua beradik itu mendapat perhatian netizen. Rata-rata memuji ketabahan mereka serta menjadikannya sebagai inspirasi bahawa setiap ujian mampu ditempuhi dengan usaha, kesabaran dan semangat untuk terus mencari rezeki yang halal.









