Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meluahkan rasa dukacita susulan pengumuman Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memutuskan untuk keluar daripada UMNO serta-merta, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai hak demokrasi yang dijamin Perlembagaan.
Bagaimanapun, beliau kesal terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan alasan keluar parti, khususnya tuduhan kononnya Istana mengawal UMNO Johor sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 1 Jun lalu.
Menurutnya, kenyataan berunsur fitnah itu tidak wajar dijadikan sandaran kepada keputusan meninggalkan parti.
Asyraf Wajdi turut mendakwa Puad sebelum ini pernah menulis secara panjang lebar kepadanya dengan unsur tekanan, termasuk mengugut untuk keluar parti sekiranya kepimpinan UMNO tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit. Beliau menegaskan, walaupun anak pemimpin berkenaan berpotensi untuk dilatih sebagai pemimpin masa depan, proses pemilihan calon tetap tertakluk kepada pelbagai pertimbangan parti.
Baca juga:
- ‘UMNO bukan parti warisan anak beranak’ – Asyraf Wajdi
- Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, tegaskan pembubaran DUN Johor ikut proses perlembagaan
- Puad Zarkashi umum keluar UMNO
Katanya lagi, tindakan mengugut parti demi memenuhi tuntutan peribadi atau keluarga tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin berpengalaman, apatah lagi menjadikan ancaman keluar parti sebagai tekanan politik. Beliau turut mendakwa ia bukan kali pertama perkara seumpama itu berlaku, termasuk ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Cukuplah UMNO diugut sedemikian rupa. UMNO bukan parti warisan anak-beranak,” tegasnya.
Menurut beliau, UMNO telah banyak memberi ruang dan peluang kepada pemimpin untuk berkhidmat serta membina nama, justeru tidak wajar jika jasa parti dibalas dengan ugutan hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi.
“Amat tidak wajar, setelah segala ruang, kedudukan dan manfaat diperoleh, parti sendiri pula mahu diugut dan dihentam hanya kerana kehendak peribadi tidak dipenuhi. Bak kata pepatah Melayu, “air susu dibalas air tuba”, jasa dibalas dengan cerca, budi dibalas dengan ugutan,” katanya.









