Keadaan bumbung sebuah sekolah di Bukit Raya yang dilaporkan diterbangkan angin sejak hampir sebulan lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa apabila sehingga kini masih belum kelihatan sebarang kerja pembaikan dilakukan.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial menerusi kumpulan Facebook Info Warga Hulu Langat yang meluahkan rasa simpati terhadap murid dan guru yang terkesan akibat insiden berkenaan.
Menurutnya, beberapa kelas yang terlibat terpaksa dipindahkan sementara ke lokasi lain seperti makmal sains dan bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan.
“Sudah hampir sebulan bumbung sekolah Bukit Raya diterbangkan angin. Sehingga kini tidak nampak lagi usaha untuk membaiki. Kelas anak-anak yang terlibat telah ditumpangkan ke kelas lain seperti makmal sains dan bilik RBT,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca juga:
- RTM, Astro perkukuh kerjasama perluas akses kandungan berkualiti kepada rakyat
- ‘Saya tidak akan berhenti berjuang’ – Haim Hilman
- ‘Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini’ – ADUN Dusun Tua
Beliau turut meluahkan rasa kasihan terhadap murid dan guru yang terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan berkenaan, selain mempersoalkan tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Kasihan anak-anak dan guru-guru yang terlibat. Sampai bila masalah ini akan berlarutan?” tambahnya.
Hantaran itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi memastikan proses pembelajaran berlangsung dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.








