Puad Zarkashi umum keluar UMNO | The Reporter

Puad Zarkashi umum keluar UMNO

Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar UMNO dalam satu kenyataan sambil mengkritik pengaruh luar terhadap keputusan politik UMNO Johor.
Gambar: UMNO Online

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta hari ini, sekali gus menamatkan penglibatannya dalam parti yang telah disertainya sekian lama.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Puad berkata keputusannya dibuat tanpa sebarang keraguan dan berharap UMNO tidak perlu mengambil tindakan disiplin atau memecatnya kerana beliau telah memilih untuk meninggalkan parti secara sukarela.

Menurut beliau, langkah itu juga memberi ruang kepadanya untuk terus menyuarakan pandangan serta kritikan terhadap UMNO tanpa lagi berdepan tuduhan mengkhianati atau menikam parti dari belakang.

“Mulai hari ini saya bebas mengkritik UMNO, sebuah wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.

Bukan kepentingan peribadi

Puad turut menepis dakwaan bahawa tindakannya itu didorong oleh kepentingan peribadi. Beliau menegaskan keputusan tersebut dibuat ketika UMNO dilihat semakin kukuh dan sedang mempertimbangkan untuk bertanding secara solo di 56 kerusi.

Malah, katanya, keputusan itu dibuat ketika beberapa tokoh politik termasuk Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar dikatakan kembali menyertai UMNO apabila melihat kekuatan parti tersebut semakin meningkat.

“Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi. Saya tinggalkan UMNO disaat KJ, Hishamuddin, Noh Omar kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya?

Mengulas punca utama tindakannya, Puad mendakwa UMNO Johor tidak lagi mempunyai kebebasan sepenuhnya dalam membuat keputusan politik.

Puad turut mendakwa terdapat beberapa lagi contoh yang menunjukkan kepimpinan UMNO Johor tidak bebas membuat keputusan sendiri dan hanya mengikut arahan tertentu, sekali gus menjadikan parti itu sebagai “boneka yang terikat”.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakannya mendedahkan perkara berkenaan sebagai satu bentuk “keberanian politik” yang perlu dilakukan sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Baca juga:

Dalam kenyataannya, Puad mengakui bakal berdepan kritikan, kecaman dan kemungkinan ancaman keselamatan susulan pendedahan tersebut, namun beliau menegaskan bersedia menghadapi sebarang risiko.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju UMNO sekiranya parti itu dipimpin oleh individu yang disifatkannya sebagai “pengecut politik”, sehingga menyebabkan calon Barisan Nasional dilihat sebagai calon kitar semula serta gagal memenuhi aspirasi golongan muda.

“Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh “Pengecut Politik” sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan “mediocre”.

“Saya bertawakkal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya.

Related Posts