Pas tegaskan dakwah di IPT tidak bercanggah Perlembagaan | The Reporter

Pas tegaskan dakwah di IPT tidak bercanggah Perlembagaan

Pemuda PAS Malaysia mempertahankan hak dakwah di institusi pengajian tinggi selaras Perlembagaan Persekutuan
Gambar: Facebook Sukri Omar

Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS Malaysia mengecam kenyataan Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam yang didakwa mempertikaikan usaha dakwah serta program pendaftaran saudara baharu (mualaf) di institusi pengajian tinggi, dengan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak berasaskan kefahaman tepat terhadap Perlembagaan Persekutuan serta boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan Islam di Malaysia.

Pengerusinya, Mohamed Sukri Omar menegaskan bahawa usaha dakwah dan pengurusan mualaf di kampus adalah sah dari sudut undang-undang serta selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, manakala Perkara 11 menjamin kebebasan beragama, termasuk Perkara 11(4) yang memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam.

Sehubungan itu, Pemuda PAS menegaskan bahawa pelaksanaan program dakwah di institusi pengajian tinggi, termasuk pendaftaran saudara baharu, adalah dibenarkan selagi ia dilaksanakan secara sukarela, beretika dan tidak melanggar undang-undang.

Baca juga:
Bukan kawasan larangan dakwah

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa institusi pengajian tinggi bukan kawasan larangan dakwah, sebaliknya merupakan medan ilmu yang perlu menyuburkan wacana serta penghayatan nilai berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

Pada masa sama, Pemuda PAS turut menolak pandangan yang menggesa institusi pendidikan awam bersifat “neutral” sehingga menafikan menafikan identiti dan asas kenegaraan Malaysia sendiri.

“Adalah tidak wajar institusi pendidikan awam dituntut supaya bersikap “neutral” sehingga menafikan identiti dan asas kenegaraan Malaysia sendiri. Neutraliti tidak bermaksud menghapuskan kedudukan Islam yang telah dipersetujui oleh para pengasas negara serta dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kenyataan YB Senator Dr. Lingeshwaran memperlihatkan seperti cenderung untuk mentafsir Perlembagaan menurut kerangka sempit “Malaysian Malaysia” yang sering dibawa oleh DAP, iaitu suatu gagasan yang berulang kali cuba merelatifkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu serta hak-hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan,” katanya.

Prinsip menghormati

Bagaimanapun, Pemuda PAS menegaskan bahawa Malaysia dibina atas prinsip saling menghormati, termasuk menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, di samping hak umat Islam untuk berdakwah secara aman dan berhemah.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak agar menghentikan polemik yang mempertikaikan hak dakwah di kampus serta kembali menghormati semangat Perlembagaan Persekutuan demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Sebarang cubaan menghakis kedudukan Islam atas nama pluralisme yang ditafsir secara sempit dan melampau hanya akan menjejaskan keharmonian serta kestabilan negara,” jelasnya

Related Posts