Senator Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.menegaskan bahawa institusi pendidikan awam di Malaysia mesti kekal neutral, inklusif dan tidak boleh dijadikan platform untuk menggalakkan penukaran agama sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Dalam satu kenyataan, beliau mengambil maklum kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berhubung isu berkaitan dakwaan bahawa penyebaran Islam boleh dilaksanakan di mana-mana termasuk di institusi pengajian tinggi awam.
Beliau menegaskan bahawa institusi pendidikan awam adalah milik semua rakyat tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang, justeru ia tidak boleh disalahgunakan bagi tujuan yang boleh menimbulkan persepsi negatif atau keresahan dalam kalangan pelajar bukan Islam serta keluarga mereka.
Menurutnya, walaupun kebebasan beragama dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk ruang untuk penyebaran ajaran Islam, pelaksanaannya perlu dilakukan melalui saluran yang beretika, berhemah dan tidak melibatkan institusi pendidikan awam.
“Sebarang bentuk galakan, insentif atau pendekatan yang boleh membawa kepada penukaran agama di institusi awam adalah tidak wajar kerana ia boleh dianggap sebagai penyalahgunaan ruang institusi yang sepatutnya kekal neutral dan menghormati kepelbagaian masyarakat,” katanya.
Baca juga:
- Pas tegaskan dakwah di IPT tidak bercanggah Perlembagaan
- ‘Universiti awam tidak wajar jadi platform galakan penukaran agama’ – Dr Lingeshwaran
- ‘Jangan sampai biduk yang ditumpang, menentukan haluan nakhoda’ – Sultan Pahang
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia dibina atas asas masyarakat majmuk, justeru sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan kepercayaan antara komuniti serta keharmonian sosial tidak wajar dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin politik, khususnya dalam gabungan berbilang kaum seperti Barisan Nasional.
Sehubungan itu, beliau menyeru parti komponen Barisan Nasional iaitu Malaysian Indian Congress (MIC) dan Malaysian Chinese Association (MCA) supaya menyatakan pendirian mereka secara jelas berhubung isu tersebut.
“Sebagai rakan dalam gabungan masyarakat majmuk, MIC dan MCA memikul tanggungjawab moral untuk bersuara demi keluarga dan anak-anak yang telah memberi kepercayaan kepada mereka. Diam bukanlah satu pilihan yang bertanggungjawab apabila integriti institusi pendidikan negara dan keharmonian generasi muda menjadi taruhan,” katanya.









