Pemilik dan pengusaha Opah Strawberries & Jams di Cameron Highlands, Zamzam Zulaikha Abu Shah tampil membuat penjelasan terbuka serta permohonan maaf selepas beberapa tindakannya di media sosial menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Dalam kenyataandi Thread, wanita berkenaan yang juga dikenali sebagai Kak Ika memohon maaf kepada individu yang menerima balasan komen berunsur kasar daripadanya di sebuah hantaran video ketika beliau berada di atas motosikal di Cameron Highlands. Beliau mengakui tindakan itu tidak wajar dan bertanggungjawab sepenuhnya atas cara balasan yang diberikan kepada komen-komen berkenaan.
Menghubungi akaun-akaun terlibat
Beliau turut memaklumkan telah mengambil inisiatif menghubungi beberapa akaun terlibat secara peribadi melalui mesej langsung (DM) di Threads dan TikTok bagi menyampaikan permohonan maaf.
“Saya telah mengambil inisiatif untuk menghubungi akaun-akaun yang terlibat secara peribadi melalui DM di Threads dan juga TikTok bagi menyampaikan permohonan maaf saya. Setakat kenyataan ini dibuat, sebahagian daripada mesej tersebut masih berada dalam Message Request dan belum dibuka oleh penerima,” katanya.
Mengulas lanjut, Kak Ika menjelaskan video yang tular itu sebenarnya dirakam bagi menunjukkan keadaan lalu lintas di Cameron Highlands, dan beliau turut memohon maaf sekiranya ia menimbulkan salah faham atau ketidakselesaan kepada mana-mana pihak.
Isu kenyataan tular
Dalam masa sama, isu berhubung kenyataan ‘B40’ yang tular turut dijelaskan. Menurutnya, kenyataan ketika sesi siaran langsung yang menyebut ‘bangsa-bangsa yang masuk’ sebenarnya merujuk kepada akaun luar negara dari Vietnam dan Thailand yang sering memasuki LIVE beliau serta mengambil ‘Treasure Coin’ dan ‘Treasure Box’ yang disediakan untuk pengikut.
Beliau mendakwa sebahagian rakaman yang tersebar telah dimanipulasikan sehingga mencetuskan salah faham, selain menyatakan kesediaan untuk berkongsi semula rakaman penuh siaran langsung tersebut bagi menjernihkan keadaan.

Baca juga:
- UK umum larangan akses media sosial bawah umur 16 tahun
- Pemilik Opah Strawberries mohon maaf, jelaskan kekeliruan isu tular
- Bilal muda meninggal dunia selepas azan Maghrib, pemergian Ahmad Haziq undang sebak
Nafi dakwaan tular
Kak Ika menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak ditujukan kepada golongan B40 atau mana-mana kumpulan masyarakat di Malaysia, serta menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menghina atau memperlekeh mana-mana pihak. Beliau turut menambah bahawa dirinya juga bukan berasal daripada keluarga berada, sekali gus tidak mempunyai niat sedemikian.
Dalam penjelasan itu, beliau turut menerima segala teguran dan menganggap isu berkenaan sebagai pengajaran penting untuk lebih berhati-hati dalam komunikasi di media sosial pada masa akan datang.
Beliau berharap penjelasan yang diberikan dapat menjernihkan kekeliruan yang timbul serta menegaskan fokusnya kini kembali kepada keluarga, pekerja, pelanggan dan perniagaan yang diusahakan.










