Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan umat Islam agar tidak mengabaikan ibadat dan tanggungjawab ketika mengikuti kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 yang sedang berlangsung.
Menurut beliau, bola sepak bukan sekadar sukan yang menghimpunkan jutaan peminat di seluruh dunia, malah mengandungi pelbagai pengajaran yang boleh dijadikan ibrah dalam kehidupan seharian.
Katanya, sukan itu mengajar nilai penting seperti strategi, disiplin, kerja berpasukan dan keberanian membuat keputusan, selain memberi peluang untuk memahami budaya serta cara hidup masyarakat di pelbagai negara.
Mengulas mengenai Piala Dunia 2026 yang dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, Dr Zulkifli berkata kerjasama tiga negara tersebut membuktikan bahawa perpaduan dan kesatuan mampu menjadi asas kepada kejayaan yang lebih besar.
Beliau turut membandingkan suasana sambutan kejohanan kali ini dengan Piala Dunia 2022 di Qatar yang menurutnya lebih menampilkan nilai kesopanan dan tatasusila dalam berhibur berbanding sambutan yang lebih terbuka pada edisi kali ini.
“Sebagai seorang Muslim, kita tidak menolak hiburan secara mutlak. Namun, hiburan hendaklah dipandu oleh adab, batas dan nilai yang dibenarkan oleh agama,” katanya.
Baca juga:
- ‘Bola-bola juga, ibadat dan tanggungjawab jangan diabaikan’ – Dr Zulkifli
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
Dalam masa sama, Dr Zulkifli menyifatkan penambahan jumlah pasukan bertanding daripada 32 kepada 48 pasukan sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan oleh Malaysia untuk memasang cita-cita lebih tinggi.
Skuad Harimau Malaya
Beliau berpandangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) wajar menetapkan sasaran yang lebih besar agar skuad Harimau Malaya mampu melayakkan diri ke Piala Dunia pada masa hadapan menerusi pembangunan akar umbi yang tersusun dan berterusan.
Menurutnya, kejayaan legenda bola sepak negara seperti Mokhtar Dahari, Ghani Minhat, Santokh Singh dan R. Arumugam seharusnya menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk membawa Jalur Gemilang ke pentas tertinggi bola sepak dunia.
Beliau turut menjadikan Brazil sebagai contoh negara yang berani melakukan perubahan apabila melantik jurulatih dari Itali, Carlo Ancelotti, bagi memperkukuhkan pasukan selepas beberapa kali gagal menjulang kejuaraan dunia.
“Kadangkala kejayaan bukan hanya bergantung kepada kekuatan yang sudah ada, tetapi kepada keberanian meletakkan orang yang tepat pada posisi yang tepat,” ujarnya.
Tunai kewajipan
Dr Zulkifli turut mengingatkan peminat bola sepak di Malaysia yang berjaga malam atau bangun awal pagi untuk menonton perlawanan agar memanfaatkan waktu tersebut dengan mengerjakan solat tahajud, witir serta memperbanyakkan istighfar.
Beliau menegaskan bahawa minat terhadap bola sepak tidak seharusnya menyebabkan seseorang lalai daripada kewajipan sebagai seorang Muslim.
“Inilah tema yang ingin kita bawa sepanjang catatan ini, bola-bola juga, ibadat dan tanggungjawab jangan diabaikan,” katanya.









