'Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0' – Pemuda MCA | The Reporter

‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA

Neow Choo Seong kritik Prof Tajuddin Rasdi berkaitan isu politik Onn Hafiz Ghazi dan DAP
Gambar: Facebook Neow Choo Seong

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menyifatkan kenyataan ahli akademik Prof Datuk Dr Tajuddin Rasdi yang melabel pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai ‘perkauman’ sebagai tidak adil, mengelirukan dan tidak berasaskan hujah yang matang.

Beliau berkata, dakwaan tersebut timbul susulan tindakan Onn Hafiz yang menolak kerjasama politik dengan DAP, namun menurutnya, penolakan itu tidak wajar disamakan dengan penolakan terhadap mana-mana kaum di Malaysia.

Neow menegaskan bahawa MCA berpendirian jelas bahawa DAP adalah sebuah parti politik dan bukan wakil mutlak mana-mana kaum. Justeru, katanya, menolak kerjasama dengan DAP tidak boleh ditafsir sebagai menolak masyarakat Cina, India atau mana-mana kumpulan etnik lain di negara ini.

“Sejak bila DAP menjadi wakil tunggal kepada masyarakat Cina? Adakah sesiapa yang tidak bersetuju dengan DAP secara automatik dianggap menolak kaum Cina? Pemikiran seperti ini bukan sahaja dangkal, malah berbahaya kerana cuba menyempitkan perbezaan politik kepada sentimen perkauman,” katanya.

Baca juga:

Beliau turut menolak perbandingan dibuat antara pendirian politik Onn Hafiz dengan Rundingan Damai Baling, dengan menyifatkan ia sebagai tidak tepat dari sudut sejarah kerana rundingan tersebut melibatkan usaha menamatkan konflik bersenjata, bukannya kerjasama politik dalam sistem demokrasi.

“Janganlah cuba mengubah sejarah semata-mata untuk menyesuaikannya dengan naratif politik parti sendiri,” jelasnya.

Neow menegaskan bahawa dalam amalan demokrasi, setiap parti politik berhak menentukan rakan kerjasama berdasarkan prinsip, ideologi dan mandat rakyat tanpa perlu dipaksa oleh mana-mana pihak.

Beliau turut mendakwa terdapat kecenderungan dalam politik semasa yang melabel pihak tidak sehaluan sebagai “perkauman”, sedangkan menurutnya, rakyat kini semakin matang menilai naratif sedemikian.

Dalam masa sama, beliau mempertahankan Onn Hafiz sebagai pemimpin yang progresif dan sederhana, serta menegaskan bahawa konsep ‘Bangsa Johor’ yang dibawa tidak berpaksikan sentimen perkauman, sebaliknya bersifat inklusif.

Neow juga menegaskan Malaysia tidak memerlukan ‘Rashid Maidin 2.0’, sebaliknya negara memerlukan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat.

Related Posts