Lelaki Rohingya mengaku tak bersalah sebabkan kematian penunggang motosikal | The Reporter

Lelaki Rohingya mengaku tak bersalah sebabkan kematian penunggang motosikal

Pertuduhan kes kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal RXZ dan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki Rohingya.
Gambar: Puqtra Hairry / Utusan

Seorang lelaki etnik Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Kampung Rusila pada 27 Mei lalu.

Tertuduh, Shah Dullah Abdul Hashim, 20, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Proton Saga secara berbahaya kepada orang awam berdasarkan keadaan jalan, jenis kenderaan serta trafik di lokasi kejadian. Perbuatan itu menyebabkan kemalangan membabitkan motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang mangsa, Saifullah Isyraf Shamsudin, 27.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki sebelum meninggal dunia pada 2 Jun lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan, selain hilang kelayakan lesen memandu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warganegara serta perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang setiap bulan. 8 Julai ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Baca juga:

Dalam perkembangan berkaitan, seorang wanita yang dipercayai ibu saudara mangsa menerusi hantaran di Facebook meluahkan rasa sedih serta menuntut keadilan terhadap kematian arwah.

Menurutnya, arwah Saifullah bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya dalam perjalanan untuk mengambil anak sulungnya ketika kejadian berlaku.

“Arwah dalam perjalanan ambil anak sulung dia, bukan seperti yang diperkatakan. Dia melalui laluan Rusila–Bukit Kor–Bukit Sawa untuk tujuan itu,” katanya.

Dia turut memaklumkan arwah dikenali dalam kalangan komuniti RXZ Batu Burok serta meninggalkan dua orang anak kecil masing-masing berusia empat tahun dan tiga bulan.

Sumber: Utusan

Related Posts