Kawasan pendakian Gunung Batu Putih ditutup kepada orang awam berkuat kuasa serta-merta susulan kes kehilangan pendaki, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu.
Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf berkata, penutupan itu dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan bagi membolehkan penilaian semula aspek keselamatan serta kerja-kerja pembaikan laluan pendakian dijalankan.
Sementara itu, menerusi kenyataan rasmi Bomba Perak, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditutup dan operasi pencarian kini diteruskan dalam skala lebih kecil melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Malim Gunung Perhutanan (MGP), komuniti Orang Asli setempat serta pihak yang mendapat kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak.
Baca juga:
- Lelaki Rohingya mengaku tak bersalah sebabkan kematian penunggang motosikal
- Gunung Batu Putih ditutup sementara, operasi cari Jaslinda diteruskan skala kecil
- Isu pelekat logo halal pada meja makan: MBPP ambil tindakan, beri amaran
Sehingga kini, seramai lapan anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM Perak bersama dua Malim Gunung Perhutanan masih berada di sektor pencarian sebelum dijadualkan keluar dari kawasan operasi pada petang ini.
Bomba Perak turut memaklumkan bahawa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah akan bertindak sebagai pusat penyelarasan bagi individu atau kumpulan yang ingin menyertai usaha pencarian secara sukarela.
“Semua penyertaan perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada BBP Tapah bagi tujuan rekod serta mendapatkan kelulusan memasuki kawasan Hutan Simpan Kekal,” katanya.
JBPM akan terus menyelaras dan menyalurkan maklumat terkini berkaitan operasi pencarian berdasarkan sebarang penemuan baharu, maklumat diterima dan perkembangan semasa di lapangan.
Sumber: Berita Harian, Bomba Perak









