Walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap Jaslinda telah dikecilkan, keluarganya masih belum mampu menerima hakikat kehilangan wanita itu selagi dia belum ditemui.
Kakak Jaslinda dalam satu luahan menyentuh hati berkata, setiap hari yang berlalu menjadi satu tempoh yang amat berat buat seluruh ahli keluarga yang terus menanti khabar mengenai adiknya.
Menurutnya, harapan keluarga tidak pernah padam dan mereka terus berdoa agar Jaslinda dapat ditemui dalam masa terdekat.
“Sebagai kakak Jaslinda, walaupun operasi telah dikecilkan, kami di pihak keluarga masih belum mampu menerima hakikat selagi adik saya belum ditemui.
“Setiap hari yang berlalu sangat berat untuk kami. Namun, kami tetap menaruh harapan yang tidak pernah padam agar adik saya Jaslinda dapat ditemui dalam masa terdekat,” katanya.
Rakam penghargaan
Wanita berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha pencarian termasuk pasukan SAR serta orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan adiknya.
Katanya, keluarga hanya mampu terus berdoa agar ada keajaiban dan berita gembira yang dapat mengubat kerinduan mereka terhadap Jaslinda.
“Terima kasih banyak kepada mereka yang terus mendoakan dan semua pihak yang telah membantu keluarga kami,” ujarnya.
Baca juga:
- Isu pelekat logo halal pada meja makan: MBPP ambil tindakan, beri amaran
- Agong zahir pandangan, nasihat hala tuju pembangunan Kuala Lumpur
- DAFC nafi dakwaan produk mengandungi ulat
Dalam masa sama, dia turut memohon maaf sekiranya adiknya, Jass Saludin, pernah atau tanpa sengaja menyakiti hati mana-mana pihak sebelum ini.
Luahan tersebut mendapat perhatian ramai di media sosial yang turut menzahirkan simpati serta mendoakan agar Jaslinda segera ditemui dan dipertemukan semula dengan keluarganya.
Misi SAR Jaslinda
Misi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ke-11 diteruskan dalam skala lebih kecil bermula Khamis selepas diputuskan dalam mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Pegawai Daerah Tapah. Operasi itu akan diselaraskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala polis meneruskan siasatan termasuk merakam percakapan 14 rakan mangsa yang menyertai pendakian berkenaan.
Sepanjang operasi, seramai 116 anggota pelbagai agensi terlibat dalam usaha pencarian. Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira 95 peratus kawasan Gunung Batu Putih telah diperiksa dan faktor keselamatan anggota penyelamat turut diambil kira selepas sembilan anggota mengalami kecederaan sepanjang operasi dijalankan.
Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei lalu bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Ketika pendakian, Jaslinda dan seorang lagi peserta, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dikatakan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat. Namun, Jaslinda kemudiannya meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat oleh MGP pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.








