Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah acara hiburan di bandar raya itu selepas didapati gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
Memetik laporan Harian Metro, Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, tindakan itu diambil susulan semakan dilakukan selepas tular rakaman video memaparkan gelagat peserta yang mengundang kecaman masyarakat.
Menurutnya, hasil penelitian mendapati berlaku pelanggaran terhadap syarat lesen hiburan yang diberikan kepada penganjur program berkenaan.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Katanya, pelanggaran itu merupakan kesalahan di bawah subseksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Lizan berkata, MBKT tidak memandang ringan isu pematuhan syarat penganjuran terutama program hiburan yang boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat dan ketenteraman awam.
Beliau turut menegaskan setiap permit atau lesen yang diluluskan perlu dipatuhi sepenuhnya dan tindakan undang-undang boleh dikenakan sekiranya syarat yang ditetapkan gagal dipenuhi.








