428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan susulan tekanan antarabangsa yang semakin memuncak terhadap insiden penahanan aktivis flotila kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa sebelum ini.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menjangkakan delegasi Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air pada 23 Mei (Sabtu) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mei (Ahad).
SNCC turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima pengesahan daripada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menggerakkan tiga pesawat Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di wilayah Israel.
Dalam satu kenyataan SNCC memaklumkan pembebasan itu berlaku selepas gelombang kecaman dan tekanan diplomatik daripada pelbagai negara serta organisasi antarabangsa termasuk Organisation of Islamic Cooperation, United Nations dan European Union. Insiden tersebut sebelum ini mencetuskan demonstrasi dan kenyataan rasmi dari beberapa negara termasuk Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal.
Menurut SNCC, tekanan berkenaan turut melibatkan tindakan diplomatik seperti ancaman sekatan ekonomi, saman undang-undang, pengeluaran nota diplomatik serta gesaan antarabangsa terhadap rejim Israel.
Situasi terkini
SNCC berkata, akibat tekanan berterusan termasuk implikasi reputasi antarabangsa, rancangan awal untuk menahan aktivis di Penjara Ketziot akhirnya digugurkan, dan semua tahanan dibebaskan tanpa syarat.
Kesemua 428 aktivis dilaporkan sedang dipindahkan menggunakan bas ke Lapangan Terbang Ramon sebelum diterbangkan ke Istanbul menerusi tiga penerbangan khas dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925 oleh Turkish Airlines.
“SNCC mengesahkan laporan terkini dari ADALAH bahawa semua 428 aktivis flotilla kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan 3 penerbangan tajaan khas Kerajaan Turkiye dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.
“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines tersebut dijangka berlepas dari tanah haram israel sekitar jam 8 malam waktu Malaysia,” katanya.
Baca juga:
- 428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan

- MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok isu kandungan hina Institusi Diraja

- Dua lelaki maut tertimbus runtuhan tebing tanah ketika lombong emas di Jeli

SNCC menjangkakan penerbangan khas itu akan berlepas sekitar jam 8 malam waktu Malaysia dan tiba di Istanbul sekitar jam 10 malam waktu Malaysia. Delegasi Malaysia seterusnya akan menerima sambutan rasmi oleh wakil kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye.
Delegasi turut dijadualkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Turkiye bagi tujuan dokumentasi, susulan laporan awal bahawa terdapat tahanan yang dipercayai mengalami kecederaan akibat insiden penahanan.
Dalam kenyataannya, SNCC menyeru rakyat Malaysia agar terus memperkukuh solidariti terhadap perjuangan kemanusiaan di Gaza Strip melalui doa, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik berterusan sehingga sekatan ke atas Gaza ditamatkan sepenuhnya.
Komitmen misi
SNCC turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, Menteri Komunikasi dan Kerajaan Negeri Selangor atas usaha diplomatik yang disifatkan sebagai strategik dan berkesan dalam memastikan pembebasan kesemua 29 rakyat Malaysia.









