Ketiadaan bekalan elektrik di rumah seorang penduduk Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling sejak 13 tahun lalu dipercayai berpunca daripada kediamannya dibina di atas tanah kerajaan, sekali gus menghalang pemasangan talian elektrik oleh TNB sebelum ini.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan kerajaan negeri, Haris Salleh Hamzah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai masalah yang dihadapi penduduk berkenaan dan telah mengambil tindakan susulan dengan menghubungi pihak TNB bagi mendapatkan penjelasan berkaitan status permohonan bekalan elektrik tersebut.
Menurutnya, isu berkenaan kini telah menemui jalan penyelesaian apabila TNB sudah menerima permohonan rasmi daripada penduduk terbabit, selain kelulusan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga telah diperoleh.
“Kini masalah itu sudah selesai dan saya dimaklumkan TNB sudah menerima permohonan penduduk berkenaan, manakala kelulusan sudah diperoleh daripada KKDW untuk memasang tiang dan bekalan ke rumah berkenaan.
“Saya difahamkan sebanyak 33 batang tiang akan dipasang bagi menyambung talian bekalan elektrik dan projek itu dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya.
Baca juga:
- 428 aktivis Global Sumud Flotilla termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan
- MCMC keluar tuntutan statutori terhadap TikTok isu kandungan hina Institusi Diraja
- Dua lelaki maut tertimbus runtuhan tebing tanah ketika lombong emas di Jeli
Dalam pada itu, Haris Salleh berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Pejabat Tanah Daerah Jerantut bagi menyelesaikan isu berkaitan status tanah kediaman tersebut mengikut saluran dan peraturan sedia ada.
Sebelum ini, isu berkenaan mendapat perhatian ramai selepas tular satu video di media sosial memaparkan penduduk terbabit bersama keluarganya menahan kenderaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda melalui laluan kampung tersebut selepas lawatan ke Mukim Ulu Tembeling.
Tindakan itu dipercayai dilakukan bagi merayu perhatian terhadap kesukaran hidup yang dihadapi mereka akibat ketiadaan bekalan elektrik sejak lebih sedekad lalu.








