Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memaklumkan keadaan semasa tiga ekor gajah Malaysia yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun berada dalam keadaan stabil dan dipantau rapi oleh pihak pengurusan zoo serta pasukan veterinar.
Menurut MPT, pemerhatian harian mendapati tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian gajah-gajah terbabit berada dalam keadaan baik, termasuk peningkatan berat badan yang positif sejak ditempatkan di zoo berkenaan. Dara mencatat pertambahan berat sebanyak 235 kilogram, Amoi 220 kilogram manakala Kelat meningkat sebanyak 460 kilogram.
MPT turut menjelaskan perubahan tingkah laku yang melibatkan gajah jantan, Kelat, adalah disebabkan fasa musth atau “turun minyak”, iaitu keadaan biologi semula jadi yang dialami gajah jantan matang. Dalam tempoh itu, perubahan hormon testosteron boleh menyebabkan haiwan menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan.
“Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan haiwan, pihak zoo melaksanakan beberapa langkah pengurusan khas termasuk pemantauan tingkah laku harian, pemeriksaan veterinar berkala, pengasingan terkawal serta pemantauan pengambilan makanan dan air. Program pengayaan persekitaran dan latihan pengendalian secara Protected Contact juga diteruskan secara konsisten,” katanya.
Dalam kenyataan sama, MPT menafikan dakwaan bahawa Kelat mengalami masalah mata. Menurutnya, perubahan pada bahagian mata gajah itu dipercayai berpunca daripada pembengkakan temporal gland semasa fasa musth yang memberi sedikit tekanan pada kawasan sekitar mata dan ia merupakan keadaan fisiologi normal bagi gajah jantan matang.
Baca juga:
- Penunggang motosikal kritikal dirempuh kereta lawan arus, keluarga rayu doa buat mangsa
- ‘Dara, Amoi dan Kelat catat pertambahan berat badan di Tennoji Zoo’ – MPT
- Penjelasan penceramah daging korban perlu disimpan 7 jam dalam chiller
MPT turut menegaskan dakwaan berkaitan aktiviti “force breeding” adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku kerana perkara itu tidak dibenarkan berdasarkan syarat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak. Selain itu, serpihan gading Kelat yang ditemui di dalam kurungannya dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian dan pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku.
“Dalam masa yang sama, Tennoji Zoo memaklumkan bahawa serpihan gading milik Kelat telah ditemui di dalam kawasan kurungannya dan dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian. Pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat adalah stabil. Bahagian tersebut kini dipantau secara berkala bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi lanjut berlaku.
“Pihak MPT akan terus bekerjasama rapat dengan Tennoji Zoo serta pihak berkaitan bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” jelas kenyataan itu.









