Tengku Hassanal kecewa keputusan kerajaan Pusat tidak ambil kira kepentingan Pahang | The Reporter

Tengku Hassanal kecewa keputusan kerajaan Pusat tidak ambil kira kepentingan Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berucap pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Gambar: Pahang Media

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang disifatkan tidak mengambil kira kepentingan Kerajaan Negeri Pahang, khususnya melibatkan usaha meningkatkan hasil negeri.

Memetik laporan Pahang Media,Baginda juga terkilan apabila Kerajaan Persekutuan tidak meluluskan usaha Kerajaan Negeri termasuk dalam isu eksport pasir sungai yang sebelum ini menjadi antara sumber pendapatan negeri. Menurut baginda, Pahang mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia yang memerlukan kerja pengorekan mendapan pasir bagi memastikan kelancaran aliran air serta mengurangkan risiko banjir.

“Saya begitu kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan Negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia,” titah baginda.

Baca juga:

Baginda turut bertitah bahawa sebelum ini negeri berjaya menjana hasil berpuluh-puluh juta ringgit menerusi eksport pasir ke luar negara, namun usaha tersebut kini tidak lagi dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun hasil tanah dan pasir merupakan hak negeri.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal turut menegaskan bahawa Pahang adalah sebuah negeri berdaulat yang tidak memerlukan campur tangan pihak luar dalam urusan perundangan.

“Sebarang salah laku yang berlaku di Negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama. Tidak perlu campur tangan daripada mana-mana pihak untuk menegakkan perkara yang tidak betul,” titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 yang berlangsung di Wisma Sri Pahang hari ini.

Related Posts