Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Adik kepada Jahidah Nordin @ Sylvester memberikan respon terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap bekas suami kakaknya hari ini.
Fazariah Nordin menerusi hantaran di Facebook meluahkan bahawa kakaknya kini berada dalam keadaan amat uzur sehingga disifatkan seperti ‘tidak bernyawa’ dan tidak mampu melakukan sebarang pergerakan.
Dalam hantaran sama, dia turut mendakwa terdapat wanita dan kanak-kanak lain yang menjadi mangsa kepada perbuatan tertuduh sebelum ini, selain menyifatkan pengorbanan Jahidah sebagai besar kerana menjadi antara punca kebenaran terbongkar.
Fazariah dalam masa sama berharap mana-mana pihak yang mungkin menyimpan rasa tidak puas hati terhadap Jahidah agar dapat memaafkan mangsa memandangkan keadaannya yang sangat lemah dan tidak berdaya.
Baca juga:
- ‘Langkawi tidak lesu’ – Exco Kedah sanggah dakwaan Teresa Kok
- ‘Mungkin ini doa orang-orang teraniaya’ – Adik Jahidah
- Anak Aliff Syukri, Ammar Ahyan curi tumpuan di Konvesnyen UMNO
Kekal hukuman penjara
Sementara itu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap Rosmaini Abdul Raof, 43, dan meningkatkan hukuman penjara kepada 14 tahun selepas menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar ganti rugi sebanyak RM25,000 kepada mangsa. Sekiranya gagal, tertuduh akan dikenakan tambahan hukuman penjara enam bulan. Hukuman penjara itu berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Terdahulu, pada 4 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bertarikh 9 Disember 2024 yang mensabitkan tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun.
Bagaimanapun, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.
Mengikut pertuduhan, pada 17 Jun 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah, 46, yang ketika kejadian sedang hamil 10 minggu, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menendang mangsa.
Kejadian itu berlaku di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru kira-kira jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membolehkan hukuman penjara digandakan sehingga dua kali tempoh maksimum.
Sumber: Fazariah Nordin, Harian Metro









