Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus deras di Bandar Puncak Alam sejak tiga hari lalu berakhir apabila mayat mangsa ditemukan di Sungai Buloh, hari ini.
Mangsa, Khairil Izani Khaizalullinudin, ditemui kira-kira jam 1 tengah hari oleh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut perkongsian rasmi PBS Saujana Utama di Facebook, mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Alhamdulillah, pada 30 April 2026 jam 1 tengah hari, satu mayat ditemui di Sungai Buloh, kira-kira 10km dari lokasi jatuh.
“Mayat akan dihantar ke Unit Forensik UiTM Puncak Alam. Doakan segalanya dipermudahkan dan semoga itu adalah adik Khairil Izani,” menurut kenyataan tersebut.
Baca juga:
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
Perkembangan itu turut dikongsikan oleh ahli keluarga mangsa di media sosial, termasuk ibu saudara mangsa, Wan Nurzihah yang memaklumkan Khairil Izani telah dijumpai selepas beberapa hari pencarian.
Terdahulu, Khairil Izani dilaporkan terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam pada petang Selasa.
Mangsa yang merupakan murid Tahun Empat di sebuah sekolah rendah di kawasan berkenaan dipercayai terjatuh ketika hujan lebat, dengan kejadian itu disedari oleh rakan sebayanya.









