Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan | The Reporter

Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bercakap mengenai pendirian kerajaan negeri terhadap status Pulau Langkawi
Gambar: Facebook Sanusi Md Nor

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan Negeri Kedah menegaskan pendirian tegas untuk tidak membenarkan Pulau Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, walaupun wujud cadangan dan tekanan daripada pihak tertentu.

Memetik laporan dari Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA), Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang usaha ke arah itu akan ditentang kerana Langkawi merupakan hak negeri dan rakyat Kedah.

Menurutnya, terdapat pihak yang cuba memburukkan imej pulau peranginan itu dengan agenda tertentu, termasuk kemungkinan untuk mengubah statusnya.

“Langkah mayat kami dulu, kami tak akan beri, buatlah apa cara sekali pun,” katanya tegas.

Tiada kompromi

Beliau turut membangkitkan dakwaan penemuan sumber minyak di kawasan pelantar benua antara Langkawi dan Pulau Pinang yang berpotensi menjadi faktor di sebalik cadangan tersebut. Sanusi menegaskan, Kedah tidak akan berkompromi kerana bimbang hasil dan manfaat akan lebih memihak kepada pihak lain sekiranya Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan.

“Jika Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, mereka yang untung besar. Yang seronok mereka ambil, yang pedih bagi kepada kita. Mana boleh kawal macam itu,” ujarnya.

Baca juga:

Kenyataan itu hadir susulan cadangan oleh Teresa Kok yang mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mentadbir Langkawi bagi membolehkan pembangunan lebih tersusun sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Dibangunkan ikut acuan sendiri

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa Langkawi akan terus dibangunkan mengikut acuan sendiri tanpa meniru model pelancongan luar seperti Phuket atau Hat Yai yang dikaitkan dengan industri hiburan tidak terkawal. Sebaliknya, Kedah komited mengekalkan identiti Langkawi sebagai destinasi pelancongan berteraskan keluarga, alam semula jadi dan geopark.

Sanusi turut mengingatkan pengusaha tempatan supaya tidak menaikkan harga secara tidak munasabah kerana ia boleh menjejaskan imej Langkawi. Katanya, walaupun kos operasi lebih tinggi berikutan bekalan dari tanah besar, harga yang ditawarkan perlu kekal berpatutan demi menjaga kepercayaan pelancong.

Beliau menambah, sektor pelancongan merupakan nadi utama ekonomi Langkawi yang dihuni kira-kira 120,000 penduduk, justeru semua pihak perlu bekerjasama memainkan peranan menjaga imej pulau tersebut. Selain itu, pembangunan pelancongan juga akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk Pulau Tuba.

Related Posts