Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Cadangan untuk membawa pulang tiga gajah Malaysia Dara, Amoi dan Kelat dari Jepun kini mendapat perhatian serius apabila kerajaan menyatakan kesediaan untuk menilai usaha tersebut secara menyeluruh.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, menegaskan bahawa pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berpandangan cadangan berkenaan mempunyai asas kukuh, khususnya apabila melibatkan kepentingan awam dan sensitiviti semasa rakyat Malaysia.
Menurut beliau, Zoo Taiping & Night Safari disaran untuk memulakan rundingan dengan Zoo Tennoji bagi menilai keperluan serta mekanisme terbaik untuk membawa pulang ketiga-tiga gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual.
“Setelah meneliti memorandum yang dikemukakan, kementerian secara prinsipnya berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah ini adalah wajar dipertimbangkan dengan serius,” katanya.
Baca juga:
- ‘Cadangan kembalikan Dara, Amoi, Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius’ – Arthur
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
Tekanan awam melalui petisyen
Satu petisyen dalam talian yang dilancarkan oleh aktivis dan pencinta haiwan tempatan kini semakin mendapat sokongan, mendesak agar Dara, Amoi dan Kelat dibawa pulang ke Malaysia.
Petisyen tersebut menekankan kebimbangan terhadap kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, serta kepentingan memelihara spesies gajah dalam konteks ekosistem tempatan. Ia juga mencerminkan sentimen rakyat yang melihat ketiga-tiga gajah itu sebagai sebahagian daripada warisan negara.
Difahamkan, petisyen berkenaan telah berjaya mengumpul 149,000 sokongan daripada orang ramai, menghampiri sasaran 150,000 tandatangan yang ditetapkan bagi mendesak ketiga-tiga gajah tersebut dibawa pulang ke Malaysia.
Sumber: Sinar Harian









