Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan bahawa tiga delegasi rakyat Malaysia yang sebelum ini menyertai pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) tidak dapat meneruskan misi ke Gaza selepas kapal yang dinaiki mengalami kerosakan teruk.
Tiga delegasi tersebut ialah Nur Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah Helmi dan Nurul Hidayah Mohd Amin, yang telah selamat tiba di tanah air. Mereka akan meneruskan tugasan di Pangkalan SNCC Sepang yang kini berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh negara.
“SNCC ingin memaklumkan bahawa satu penyesuaian tugasan telah dibuat melibatkan tiga orang delegasi Malaysia berikutan beberapa kapal yang telah mengalami kerosakan teruk.
“Mereka akan memulakan tugas rasmi di pangkalan SNCC Sepang yang kini turut berfungsi sebagai Pangkalan Operasi Serantau melibatkan penyelarasan strategik dari tujuh buah negara,” jelas kenyataan itu.
Dalam perkembangan terkini, SNCC memaklumkan sebanyak 56 buah kapal dilaporkan telah mula berlayar dari Pelabuhan Catania, Itali menuju ke perairan antarabangsa bagi meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza.
Baca juga:
- WWF-Malaysia ambil maklum kebimbangan orang ramai kebajikan tiga gajah
- GSF 2.0: Tiga delegasi Malaysia kembali ke tanah air selepas kapal rosak
- Kanak-kanak 10 tahun dikhuatiri lemas, jatuh longkang ketika hujan lebat
Menurut SNCC, pergerakan armada itu merupakan gabungan strategik antara flotila dari Barcelona yang melibatkan 40 buah kapal bersama kumpulan dari Itali, menjadikan keseluruhan kekuatan misi kini mencecah 56 buah kapal.
SNCC turut memaklumkan terdapat beberapa kapal yang masih menjalani proses teknikal dan pembaikan di Pelabuhan Catania, dan akan menyusul menyertai armada utama selepas kerja-kerja penyelenggaraan disempurnakan.
Delegasi Malaysia dalam keadaan baik
SNCC mengesahkan seramai 36 rakyat Malaysia yang terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal serta peserta misi berada dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi untuk meneruskan pelayaran ke fasa seterusnya.
Pihak urus setia turut memantau aspek keselamatan dan kebajikan semua krew bagi memastikan kelancaran operasi di perairan antarabangsa.
Komitmen misi diteruskan
SNCC menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menjayakan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla serta menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberikan sokongan moral dan mendoakan keselamatan seluruh armada.









