Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tidak berpuas hati terhadap kesesakan lalu lintas ketika pelaksanaan solat Jumaat di Surau Taman Seraya, Ampang dipercayai menjadi punca seorang lelaki mencetuskan kontroversi berkaitan isu di surau berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati tindakan suspek berusia 46 tahun itu adalah bersifat individu dan tidak melibatkan sebarang pengaruh luar.
“Setakat ini, tindakan suspek lebih tertumpu kepada ketidakpuasan hati ekoran kesesakan lalu lintas yang berlaku, contohnya semasa solat Jumaat dilaksanakan,” katanya.
Ditahan dan direman
Suspek yang tidak bekerja itu telah ditahan pada Ahad sekitar jam 3 petang di Pandan Indah sebelum direman bagi membantu siasatan lanjut. Polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan.
Menurut Shazeli, siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti sekiranya wujud elemen lain dalam kes berkenaan.
“Setakat ini ia dilihat sebagai tindakan individu, namun kita masih meneliti semua kemungkinan,” jelasnya.
Baca juga:
- ‘Aminuddin terus kekal sebagai MB Negeri Sembilan’ – Perdana Menteri
- Kesesakan Solat Jumaat punca lelaki cetus kontroversi Surau Taman Seraya
- Lelaki ditahan lakukan perbuatan khianat di Tol Kajang LEKAS
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berhubung dakwaan gangguan membabitkan seorang penduduk di kawasan itu.
Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman, berkata laporan itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan sebarang konflik, sebaliknya bagi menangkis dakwaan fitnah terhadap surau berkenaan.
Dalam pada itu, Shazeli menasihati orang ramai agar mengamalkan toleransi dan menjaga pertuturan dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyentuh isu sensitif 3R. Tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro









