Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Keadaan bekalan baja dunia semakin tidak stabil, semoga pendekatan berskala kecil dapat membantu pekebun kecil di Malaysia terus bertahan.
Tekanan Global Mula Jejaskan Sektor Pertanian Tempatan
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melaporkan bahawa gangguan bekalan baja susulan ketegangan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat memberi ancaman besar kepada keselamatan makanan global.
Kesan ini bukan sahaja mengganggu pengeluaran, malah menyebabkan harga baja meningkat secara mendadak. Dalam tak sedar, ketegangan global yang berlarutan sebenarnya turut memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dunia, termasuk Malaysia yang kini berdepan isu kekurangan baja.
Konflik di Timur Tengah serta sekatan eksport dari China menjadikan kos dan ketersediaan baja semakin tidak menentu. Bagi petani tempatan, khususnya pekebun kecil, kesannya dirasai hampir serta-merta.
Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030) pada Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof menegaskan bahawa isu ini perlu ditangani segera.
Ini kerana kenaikan kos input akan mencetuskan kesan berantai sehingga meningkatkan harga makanan global, yang akhirnya memberi beban kepada rakyat.
Malaysia Masih Bergantung Kepada Baja Import!
Malaysia hanya menghasilkan sekitar 39% sahaja daripada keperluan baja domestik, menyebabkan kebergantungan tinggi kepada baja import.
Dalam masa sama, China yang membekalkan satu pertiga daripada baja import Malaysia telah mengetatkan eksport bagi melindungi keperluan domestik mereka.
Situasi menjadi lebih mencabar apabila laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz terganggu. Laluan ini mengendalikan kira-kira satu pertiga perdagangan baja dunia, dan gangguan di sini menyebabkan kos penghantaran meningkat serta tempoh bekalan penghantaran menjadi lebih panjang.
Di dalam negara pula, pengeluar baja tempatan dilaporkan menghentikan tempahan baharu apabila harga bahan mentah melonjak antara 100% hingga 150% dalam tempoh singkat.
Peladang berskala besar turut terkesan, terutamanya mereka yang bergantung kepada baja import untuk sistem fertigasi. Namun, golongan yang paling terjejas adalah pekebun kecil.
Pendekatan Baru Lebih Sesuai Untuk Pekebun Kecil
Syarikat besar dilihat mempunyai keupayaan membeli secara pukal atau menyerap kenaikan kos, tapi pekebun kecil memerlukan penyelesaian yang lebih praktikal dan berkesan.
Berita baik apabila kini Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd melalui Indah Water Research Centre (IWRC) sedang dalam usaha kajian pra-pengkomersilan. Kajian ini menilai keberkesanan baja organik IWK yang dihasilkan daripada biosolid hasil rawatan kumbahan.


Untuk pengetahuan, ujian telah dijalankan ke atas empat tanaman landskap iaitu Vinca, Marigold, Japanese Rose dan Petunia, serta empat tanaman makanan seperti okra, sawi hijau, terung dan keledek dalam persekitaran rumah hijau.
Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dari segi pertumbuhan tanaman dan kualiti tanah.
Baja ini turut membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan ia selamat digunakan dalam sektor pertanian.
Keputusan Ujian Berikan Hasil Positif
Dalam satu percubaan di ladang kelapa, pokok yang terjejas akibat cuaca panas melampau menunjukkan pemulihan selepas penggunaan baja organik IWK bersama penggalak tumbuhan IWK selama lima bulan.
Pokok kelapa kembali mengeluarkan pelepah baharu dan menghasilkan buah, menandakan peningkatan kesihatan tanaman.

Pokok kelapa sebelum penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK

Pokok kelapa selepas penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK

Pokok kelapa selepas penggunaan baja organik IWK dan penggalak tanaman IWK
Percubaan lain melibatkan rumput Napier selama 15 bulan turut menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berlaku peningkatan pertumbuhan vegetatif serta penghasilan biomas yang lebih tinggi.

Gabungan Baja Organik IWK dengan Penggalak Tumbuhan IWK di Rumput Napier
Kurangkan Kos Hingga 68% Untuk Petani
Dalam ujian yang sama di ladang kelapa, penggunaan baja setiap dua minggu berjaya mengurangkan kos pembelian baja sehingga kira-kira 68%.
Pendekatan ini memberi tumpuan kepada penggunaan nutrien secara lebih efisien berbanding penggunaan baja konvensional dalam kuantiti besar.
Strategi ini amat sesuai untuk tanaman seperti kelapa dan rumput Napier yang memerlukan kesihatan tanah jangka panjang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada baja import tanpa menjejaskan hasil.
Alternatif Lebih Mampan dan Selamat
Baja organik IWK yang dihasilkan daripada enap cemar kumbahan yang dirawat dan mengandungi sekitar 7% unsur NPK. Ia bukan sahaja membantu memulihkan tanah yang kurang subur, tetapi juga membekalkan nutrien penting untuk pertumbuhan tanaman.
Komposisi organiknya membantu mengimbangi keasidan tanah akibat penggunaan baja kimia berpanjangan, sekali gus menyokong ekosistem tanah yang lebih sihat dan mampan.
Dari segi keselamatan, baja ini telah melalui pelbagai analisis bagi memastikan ia bebas daripada logam berat berbahaya dan bakteria patogen.
Kajian toksikologi oleh SIRIM tidak menunjukkan sebarang kesan negatif, manakala Helaian Data Keselamatan Bahan (MSDS) turut disediakan bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan alam sekitar.


Diiktiraf dan Dibenarkan Dari Sudut Agama
Sebelum ramai yang ragu-ragu, baja organik IWK sebenarnya telah mendapat pengiktirafan daripada Majlis Agama Kebangsaan.
Pada Februari 2025, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan bahawa penggunaan baja berasaskan biosolid adalah HARUS, selagi ia terbukti selamat dan memberi manfaat.
Keputusan ini turut disokong oleh fatwa Majlis Agama Islam Pahang serta penerimaan di Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor.
Penyelesaian Tempatan Untuk Masa Depan
Dalam situasi global yang tidak menentu, ketahanan makanan menjadi semakin penting.
Kerajaan kini sedang berusaha memperluaskan sumber import baja serta membuka saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan, sambil memastikan harga kekal kompetitif.
Dalam masa sama, penyelesaian tempatan seperti baja organik IWK dilihat mampu memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pertanian.
IWK kini berupaya menghasilkan sekitar 4 hingga 5 tan baja organik sehari, dengan potensi pengembangan di empat wilayah utama di Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan kos logistik.
Walaupun belum memenuhi keperluan berskala besar, baja ini menawarkan alternatif yang praktikal untuk pekebun kecil.
Selain mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, inisiatif ini turut menyokong kelestarian alam sekitar melalui kitar semula biosolid serta mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.
Pada masa sama, ia membuka peluang kepada ekonomi kitaran dengan mencipta nilai daripada sisa kumbahan, sekali gus memberi manfaat jangka panjang kepada sektor pertanian negara.
Perbandingan had parameter yang dibenarkan di bawah Piawaian Malaysia antara Biosolid Kering IWK dan baja organik IWK.

Kredit: Indah Water Konsortium (IWK) & irfan_newboys (Thread)








