Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tindakan Datuk Mubarak yang menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Ahad di Balai Undang Luak Sungai Ujong adalah tidak sah serta tidak diiktiraf.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu kerana beliau tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong susulan pemberhentiannya yang dibuat mengikut pesaka dan adat Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungai Ujong sejak 13 Mei 2025.
Menurut beliau, Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April 2026 turut bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan waris berkaitan untuk menamatkan pelantikan Datuk Mubarak sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10.
“Pemberhentian ini selaras dengan Fasal 14(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, melibatkan 33 kesalahan berkaitan pesaka dan adat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, DKU berperanan sebagai badan penasihat dalam perkara berkaitan adat istiadat Melayu termasuk pemilihan dan pemberhentian Undang Luak seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan negeri.
Baca juga:
- Sultan Selangor cadang SUKMA Selangor ditangguhkan
- Cikgu kongsi pengalaman di sekolah terapung, bantu anak orang asli akses pendidikan
- ‘Pengisytiharan turunkan Tuanku Muhriz tidak diiktiraf’ – MB Negeri Sembilan
Aminuddin turut menjelaskan bahawa kes pemberhentian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini, antaranya melibatkan Undang Luak Johol ke-14, Datuk Mohammad Jan bin Abdul Ghani pada 27 Mac 2016 atas 13 kesalahan berkaitan pesaka dan adat Luak Johol.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menegaskan tindakan pengisytiharan berkenaan juga bercanggah dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Terdahulu, satu hantaran di Facebook Luak Sungei Ujong memaparkan siaran langsung pengisytiharan pemecatan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir serta pelantikan Yang Amat Mulia Tunku Panglima Besar, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tunku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.









