Syarikat pengangkutan, Sri Maju Group bertindak memecat serta-merta pemandu bas yang terlibat dalam video tular memaparkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan itu sedang bergerak.
Menurut kenyataan syarikat, insiden berkenaan berlaku pada 12 April 2026 dalam sebuah bas ekspres yang beroperasi di laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Johor Bahru dan disifatkan sebagai amat mengecewakan serta tidak boleh diterima.
“Syarikat menegaskan keselamatan dan keselesaan penumpang adalah keutamaan tertinggi. Tingkah laku yang dipaparkan jelas melanggar prosedur operasi standard serta etika profesional pemandu,” menurut kenyataan itu.
Susulan kejadian, syarikat turut membuat laporan polis terhadap pemandu terbabit.
Kes berkenaan juga dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pihak syarikat memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Dalam masa sama, syarikat itu memohon maaf secara terbuka kepada penumpang dan orang awam atas insiden berkenaan, sambil menegaskan setiap pengguna berhak menerima perkhidmatan yang selamat dan profesional.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, syarikat memaklumkan sistem pengawasan video telah dipasang pada bas baharu, manakala pemasangan bagi bas sedia ada sedang dipercepatkan.
“Sri Maju Group tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu lagi.








