Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Mas, Kota Bharu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala seorang lagi pelajar kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu kereta dipercayai tertekan pedal minyak ketika berada dalam kawasan sekolah sebelum hilang kawalan dan terbabas.
“Kenderaan berkenaan melanggar dua pelajar dan sebuah tiang batu ketika mangsa sedang memakai kasut di hadapan surau sekolah selepas menunaikan solat Zohor,” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Menurut beliau, pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, kejadian tragis itu mengundang pilu ahli keluarga apabila bapa mangsa dimaklumkan insiden berkenaan ketika berada di tempat kerja, sebelum bergegas ke sekolah dan melihat anaknya sudah tidak bernyawa.
Difahamkan, arwah tinggal bersama ibu saudara semenjak kematian ibunya lima tahun lalu.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian








