Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Terusan Sungai Dua di Jalan Bertam Perdana 2, di sini, petang semalam.
Mangsa, Muhammad Aryan Hakim Muhammad Jamaluddin, ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa dipercayai bermain bersama seorang rakan di tepi terusan sebelum tergelincir dan jatuh ke dalam air.
“Komander operasi menjalankan penilaian awal dan operasi mencari serta menyelamat dilakukan di permukaan air sebelum orang awam memaklumkan mangsa ditemui hanyut dan terapung pada jam 5.29 petang,” katanya.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Beliau berkata, anggota bomba kemudian terjun ke dalam terusan untuk menyelamatkan mangsa dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia sebelum mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian








