Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengesahkan telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguamnya berhubung tindakan saman fitnah terhadap dakwaan melibatkan larangan takbir dan bacaan qunut nazilah yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini.
Menurutnya, dakwaan tersebut disifatkan sebagai fitnah berat dan tidak bertanggungjawab, sekali gus mencemarkan reputasi serta integritinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.
Baca juga:
- ‘Sebelum nak cakap, tolong gunakan otak’ -Akmal bidas Khoo Poay Tiong
- 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye – Zahid
- ‘Penanda kiblat bukan bermaksud Gunung Kinabalu jadi kawasan orang Islam’ – Lelaki Sabah
Beliau berkata, tindakan undang-undang yang diambil bertujuan membersihkan namanya selain menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan tuduhan tidak berasas.
“Fitnah ke atas saya berat dan sangat tidak bertanggungjawab.
“Tindakan undang-undang yang diambil ini bertujuan untuk membersihkan nama saya dan supaya ia menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk tidak sewenang-wenangnya menabur fitnah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam yang telah membuat segala persiapan bagi menghadapi prosiding saman fitnah berkenaan.








