MB Selangor ketuai misi bantuan Malaysia ke Gaza | The Reporter

MB Selangor ketuai misi bantuan Malaysia ke Gaza

Amirudin Shari mengetuai misi bantuan Malaysia ke Gaza bersama delegasi Global Sumud Flotilla 2.0
Gambar: Facebook Amirudin Shari.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza serta delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.

Misi berkenaan akan membawa sebanyak 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin yang kini berdepan situasi semakin kritikal di Gaza.

Inisiatif ini dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai usaha berterusan Malaysia dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak itu.

Menurut kenyataan, Amirudin dijadual berlepas pada 5 April bagi mengetuai delegasi Malaysia, termasuk memastikan proses pelepasan kontena di Kaherah berjalan lancar. Beliau turut dijadual memimpin sidang khas di Pintu Sempadan Rafah bagi menyuarakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu kepungan Gaza, selain memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Baca juga:

Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga Selangor dan Malaysia diseru untuk mendoakan kelancaran serta keselamatan sepanjang misi yang disifatkan mencabar dan berisiko tinggi tersebut.

“Selangor dan Malaysia akan terus menegaskan dan menegakkan keadilan bagi nasib warga Palestin yang masih dikepung dan dizalimi rejim Zionis Israel,” jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Amirudin dalam hantaran di Facebook turut memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi berkenaan dipermudah.

“Saya mohon doa seluruh rakyat Malaysia agar misi ini berjaya dan urusan kami dipermudahkan serta semua yang terlibat selamat dalam perlindungan Allah SWT,” katanya.

Related Posts