Sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi untuk membersihkan peralatan.
Kesalahan itu dikesan menerusi pemeriksaan Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada Januari lalu sebelum berus berkenaan disita dan dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk analisis lanjut.
Keputusan pada Mac mengesahkan berus tersebut mempunyai ciri fizikal bulu babi.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, susulan penemuan itu, sijil halal kilang itu ditarik serta-merta. Beliau menegaskan alasan tidak mengetahui penggunaan bahan tidak halal tidak boleh diterima.
“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya.
Baca juga:
- Pelajar UCYP terima sijil penghargaan, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
- Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12
Menurutnya, pemegang sijil halal perlu memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian yang ditetapkan tanpa sebarang kompromi.
Dalam pada itu, JAIM juga akan mempergiat pemantauan bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk terus terpelihara.
Orang ramai, khususnya umat Islam, turut disaran agar lebih berhati-hati dalam memilih makanan dengan mengutamakan produk yang mempunyai pensijilan halal.
Sumber: Harian Metro








