Mahasiswi USIM maut, dua rakan cedera kemalangan di Lebuhraya KL-Karak | The Reporter

Mahasiswi USIM maut, dua rakan cedera kemalangan di Lebuhraya KL-Karak

Kenderaan kemalangan di Lebuhraya KL-Karak yang melibatkan pelajar USIM.
Gambar: Facebook Noor Hayati, MPP USIM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang penuntut Tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut, manakala dua lagi rakannya cedera dalam kemalangan di Kilometer 25.40 arah Timur Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, petang semalam.

Memetik laporan Berita Al Hijrah, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Nurul Syakirah Muhammad Nizam, mahasiswi Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM. Difahamkan, beliau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua lagi mangsa yang cedera ialah Nurul Huda Mohd Hassan dan Nurus Sakinah Hashim, masing-masing merupakan pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa USIM. Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Zon Kuning Hospital Selayang.

Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dalam satu kenyataan memaklumkan pemergian Allahyarhamah Nurul Syakirah.

MPP turut mengajak orang ramai untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang mangsa, Nurul Huda, menerusi hantaran di Facebook berkongsikan kejadian yang menimpa anak dan rakan-rakannya.

Menerusi komen di Facebook, wanita yang dikenali sebagai Noor Hayati memaklumkan bahawa anaknya mengalami kecederaan ringan, seorang lagi mangsa mengalami patah kedua-dua belah kaki, manakala Nurul Syakirah, yang memandu kereta, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Related Posts