18 ‘ulat foto’ ditahan kes pukul dua lelaki di KLCC | The Reporter

18 ‘ulat foto’ ditahan kes pukul dua lelaki di KLCC

18 ulat foto ditahan cederakan dua lelaki.
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seramai 18 lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian memukul dua lelaki sehingga mengalami kecederaan di kepala di Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC), Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian kira-kira jam 9 malam itu tercetus apabila salah seorang mangsa menegur sekumpulan individu yang didakwa sedang memukul seorang pelancong lelaki. Teguran tersebut bagaimanapun tidak diendahkan, malah mangsa diberi amaran supaya tidak masuk campur.

Menurut beliau, keadaan bertukar ganas apabila mangsa diserang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang individu menggunakan pisau jenis kerambit yang mengenai bahagian kepala. Mangsa kemudian dipukul beberapa kali oleh individu lain yang dipercayai bekerja sebagai jurugambar jalanan sebelum kira-kira 30 rakan suspek turut menyerang, menyebabkan situasi menjadi huru-hara.

Bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi pada malam berikutnya dan berjaya menahan kesemua suspek berusia antara 17 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati mereka mengaku berada di tempat kejadian dan bekerja sebagai jurugambar jalanan atau ‘ulat foto’. Dua daripada suspek turut dikenal pasti oleh saksi melalui proses pengecaman.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Baca juga:
Gambar keadaan mangsa yang dikongsikan oleh Cikgu Fadli Salleh

Terdahulu, pempengaruh Cikgu Fadli Salleh berkongsi di media sosial mengenai keadaan seorang lelaki yang cedera akibat dipukul kumpulan jurugambar terbabit. Mangsa yang merupakan penjual air balang dipercayai cuba meleraikan pergaduhan antara jurugambar dan pelancong asing, namun turut menjadi sasaran serangan. Dalam kejadian itu, balang air milik mangsa juga dilaporkan dipecahkan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts