Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tiga lelaki ditahan polis disyaki merusuh menggunakan senjata di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, pada Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.51 petang pada 23 Mac 2026 daripada seorang lelaki.
Menurut beliau, pengadu yang berada di rumah terdengar bunyi bising di hadapan kediamannya sebelum keluar untuk melihat keadaan. Pengadu kemudian mendapati bapa saudaranya sedang memegang sebilah parang dan dikepung beberapa individu tidak dikenali yang dipercayai cuba menyerangnya.
“Pengadu telah menghubungi pihak polis, namun kesemua suspek melarikan diri sebelum anggota tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga:
- Tiga lelaki ditahan dalam kes rusuhan bersenjata
- Tamim Dahri sedia serah diri, letak empat syarat
- Dua kapal tentera laut AS singgah di Pulau Pinang untuk urusan logistik
Mohd Sufian berkata, hasil siasatan dan risikan, polis berjaya menahan tiga lelaki Melayu yang dipercayai terlibat serta merampas beberapa barang kes. Usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.









