Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suami kepada pelakon, Azar Azmi didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan urusan mendapatkan tanah kurnia negeri dan darjah kebesaran yang tidak wujud.
Mengikut pertuduhan, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, didakwa menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa supaya membuat pembayaran berjumlah RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank milik seorang penama wanita berusia 35 tahun.
Tanah kurnia, darjah kebesaran
Bayaran tersebut kononnya bagi tujuan mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang sebenarnya tidak wujud. Mangsa dipercayai tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2 April hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah Seremban.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun untuk membuat bayaran RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk, namun sebenarnya tidak wujud.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 22 Januari hingga 9 November 2025 di sebuah pejabat di Seremban 2.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Merayu ikat jamin dikurangkan
Dalam prosiding Mahkamah Sesyen, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah ikat jamin direndahkan berbanding RM50,000 yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Dia memberi alasan menghidap beberapa penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan gout selain perlu menanggung sembilan orang anak serta isterinya yang merupakan suri rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isteri selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Bagi kes di Mahkamah Majistret pula, Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan RM7,000 sebelum mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000.
Baca juga:
- Kisah wanita sentuh hati, Pak Nil sumbang RM3,000
- Suami pelakon didakwa tipu urusan tanah kurnia, gelaran ‘Datuk’ tidak wujud
- Lagu Dayang Nurfaizah sentuh jiwa, ramai kongsi kisah kehilangan
Azar Azmi dibebaskan
Sementara itu, pelakon Azar Azmi yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan penjualan tanah lot kurnia bernilai kira-kira RM1.5 juta serta urusan darjah kebesaran ‘Datuk’, dibebaskan oleh polis pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata, pelakon berusia 35 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 8 pagi dan akan dijadikan saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes tersebut.
Menurutnya, setakat ini dua kes masih disiasat di Negeri Sembilan iaitu membabitkan penipuan tanah kurniaan dan urusan darjah kebesaran ‘Datuk’ yang tidak wujud.
“Selain itu, satu lagi kes penipuan pelaburan lembu di Kuala Lumpur masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwa raya,” katanya.
Sumber: Berita Harian, Kosmo









