Na'imah, dua anak fail saman terhadap PM, KPN dan kerajaan | The Reporter

Na’imah, dua anak fail saman terhadap PM, KPN dan kerajaan

Na’imah Abdul Khalid fail saman terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung siasatan dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan.
Gambar: NST

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, bersama dua anaknya memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail serta Kerajaan Malaysia pada Jumaat.

Na’imah, 69, bersama dua anaknya Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, serta dua peguam keluarga memfailkan saman berhubung siasatan dakwaan kononnya wujud usaha untuk menggulingkan kerajaan. Dalam tindakan itu, mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa siasatan yang dimulakan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan adalah menyalahi undang-undang.

Memetik laporan Sinar Harian, plaintif turut memohon perisytiharan bahawa tindakan pihak berkuasa tersebut tidak berperlembagaan, berniat jahat serta merupakan penyalahgunaan kuasa statutori. Mereka juga mencabar kesahihan Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen, dengan mendakwa peruntukan itu terlalu samar, terlalu luas dan tidak seimbang.

Menurut mereka, peruntukan tersebut didakwa melanggar beberapa hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 10 (kebebasan bersuara, berhimpun serta berpersatuan).

Baca juga:

Peguam yang mewakili plaintif berkata, tindakan undang-undang itu difailkan demi kepentingan awam bagi mencabar penyalahgunaan kuasa serta menghentikan dakwaan tidak berasas mengenai kononnya wujud “komplot Zionis” untuk menjatuhkan kerajaan.

Sebelum ini, Na’imah turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau terlibat dalam sebarang usaha menggulingkan kerajaan. Beliau menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas, melucukan dan tidak masuk akal.

Isu tersebut timbul selepas laporan polis yang tular di media sosial mendakwa sebuah keluarga berpengaruh melantik firma komunikasi strategik berpangkalan di United Kingdom bagi memberi tekanan kepada kerajaan melalui media antarabangsa.

Related Posts