Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, membidas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu tarif perdagangan yang dikatakan membebankan Malaysia.
Rafizi sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia kini perlu membayar tarif hampir dua kali ganda berbanding negara lain. Menjawab dakwaan itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa fokus ketika bulan puasa sepatutnya diberikan kepada ibadah dan bukan menimbulkan kekeliruan.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun Mahkamah Agung Amerika Syarikat telah membatalkan beberapa tarif, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dan tidak menunggu sehingga kes selesai. Tarif 19% yang dikenakan ke atas negara masih memerlukan tindakan awal bagi mengelakkan kos tinggi dalam perdagangan global.
“Bila Mahkamah Agung Amerika Syarikat dah batalkan tarif, maknanya tarif 19% yang kena kat Malaysia pun dah tak jadilah,” katanya.
Tengku Zafrul menggunakan analogi insurans perjalanan untuk menerangkan konsep Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART). Beliau menjelaskan bahawa ART berfungsi seperti perlindungan awal untuk menghadapi risiko yang mungkin berlaku di masa depan.
“Konsep perjanjian ART ni sebenarnya mudah. Dia macam insurans perjalanan. Masa nak melancong, orang selalu fikir, takkan jadi apa-apa. Tapi bila masuk hospital luar negara, bil boleh cecah puluhan ribu ringgit. Waktu tu, barulah kita nak faham kenapa bayar takaful tu penting,” katanya.
Baca juga:
- ‘Bola-bola juga, ibadat dan tanggungjawab jangan diabaikan’ – Dr Zulkifli
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
‘Sediakan payung sebelum hujan’
Beliau menegaskan bahawa menunggu sehingga keputusan mahkamah memihak kepada pihak tertentu boleh menyebabkan Malaysia menanggung kos yang lebih tinggi. Langkah proaktif penting bagi memastikan negara tidak membayar harga yang mahal dalam perdagangan global.
“ART ni pun sama. Kita bersedia dari awal. Sediakan payung sebelum hujan. Kita memang tahu ya, kes mahkamah ni sedang berjalan. Tetapi, kalau kita tunggu sampai kes selesai dan keputusan memihak kepada Trump bagaimana, barulah time tu kita terhegeh-hegeh nak mula berunding. Dalam perdagangan global hari ni, siapa lambat gerak akan bayar harga yang mahal. Sebab itu kena mestilah bertindak awal,” jelasnya.
Negara lain turut capai persetujuan
Menurut Tengku Zafrul, Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan ini. Beberapa negara termasuk EU, UK, Jepun, Korea, dan jiran terdekat, Indonesia, telah mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat untuk memberikan kepastian kepada industri masing-masing.
Beliau menekankan bahawa tindakan awal bukan soal siapa paling lantang bercakap, tetapi tentang melindungi ekonomi negara. Setiap keputusan perdagangan melibatkan pekerja dan masa depan industri tempatan. Pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat tidak terkesan dan negara bersedia menghadapi sebarang perubahan dalam perdagangan global.
“Ada orang tunggu ribut datang, lepas tu sibuk bercakap tentang cara nak selamatkan. Kita pula pilih untuk pasang payung awal supaya rakyat tak perlu basah dulu baru nak cari tempat,” katanya.








