'Saya nak clearkan nama saya' - Mia Sara tampil pertahankan diri | The Reporter

‘Saya nak clearkan nama saya’ – Mia Sara tampil pertahankan diri

Mia Sara pertahankan diri susulan tuduhan tular melibatkan Puteri Balqis.
Mia Sara pertahankan diri dan tampil jelaskan tuduhan tular yang kembali hangat diperkatakan di media sosial.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pelakon Mia Sara tampil membuat penjelasan terbuka bagi menafikan pelbagai tuduhan yang dikaitkan dengan namanya, termasuk dakwaan membuli dan mencetuskan konflik melibatkan Puteri Balqis serta keluarganya.

Menurut Mia Sara, kenyataan itu dibuat bagi membersihkan reputasinya selepas beberapa dakwaan lama kembali tular di media sosial dan menjejaskan imej serta emosinya sebagai anak seni.

Hanya bertemu sekali, nafi dakwaan membuli

Dalam kenyataannya, Mia Sara menjelaskan beliau hanya pernah berjumpa Puteri Balqis sekali sahaja sepanjang hidup dan tidak pernah berhubung selepas itu.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan membuli atau menghina ibu pelakon berkenaan, selain menolak tuduhan menjadi punca perpecahan keluarga mereka.

“Saya hanya pernah berjumpa dia sehari sahaja dan sekali sahaja seumur hidup saya dan kami memang tidak pernah berhubung sama sekali sehinggalah sekarang.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan membuli atau menghina ibunya, serta dakwaan bahawa saya menjadi punca ibu Puteri Balqis dibuang keluarga kerana ketika itu saya baru berumur 7 tahun dan tidak mengenali keluarga mereka,” tegasnya.

Baca juga:

Sekatan media sosial

Mengenai isu yang berlaku pada tahun 2021, Mia Sara berkata komennya ketika itu bertujuan untuk menyokong Puteri Balqis kerana memahami tekanan dikecam di media sosial.

“Komen saya pada waktu itu sebenarnya bertujuan untuk menyokong (backup) Puteri Balqis kerana saya juga pernah melalui pengalaman dikecam dan merasa simpati terhadapnya.

“Saya bukan datang daripada keluarga kaya dan pernah berniaga nasi lemak di tepi jalan bersama keluarga sebelum menjadi pelakon,” katanya.

Pelakon berusia 21 tahun itu juga memaklumkan tidak pernah memohon maaf secara peribadi kerana telah disekat di semua platform media sosial selama bertahun-tahun, walaupun usaha menghubungi telah dibuat.

“Saya telah disekat (block) oleh Puteri Balqis di semua media sosial selama bertahun-tahun. Pihak saya telah cuba menghubungi beliau tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas,” ujarnya.

Sedia ambil tindakan undang-undang

Mia Sara turut mendedahkan bahawa beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu, termasuk ahli keluarga Puteri Balqis dan pempengaruh media sosial yang didakwa menyebarkan fitnah. Semua bukti tangkap layar telah disimpan sebagai persediaan untuk tindakan mahkamah.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar sebarang salah faham diselesaikan secara terus melalui komunikasi peribadi, memandangkan Puteri Balqis memiliki nombor telefon beliau.

“Pesanan saya kepada Puteri Balqis, jika mahu mengenali saya atau tahu di mana saya tinggal, lebih baik hubungi atau WhatsApp saya secara terus memandangkan dia sudah mempunyai nombor saya.

“Saya telah menyatakan kebenaran dan terpulang kepada orang ramai untuk mempercayainya atau tidak,” katanya.

Sumber: Instagram Mia Sara

Related Posts