Pelakon Along Eyzendy ditidurkan selepas keadaan kesihatan merosot | The Reporter

Pelakon Along Eyzendy ditidurkan selepas keadaan kesihatan merosot

Pelakon Along Eyzendy menerima rawatan di hospital
Along Eyzendy

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pelakon, Along Eyzendy atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang sejak jam 4 petang kelmarin selepas kesihatannya merosot secara mendadak.

Isterinya, Hamidah Mohd Yatim, memaklumkan bahawa Along mula dimasukkan ke wad pada Jumaat minggu lalu akibat demam dan batuk berpanjangan. Doktor kemudian mengesyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedunya.

Menurut Hamidah, jangkitan itu menyebabkan tekanan darah, tahap hemoglobin, dan bacaan platelet Along tidak stabil, kadang-kadang meningkat, kadang-kadang menurun.

“Ada hari yang keadaannya baik, ada hari yang semua bacaannya menurun. Tiba-tiba semasa doktor sedang memasukkan platlet, Along menjadi tidak sedarkan diri dan tidak memberi sebarang tindak balas apabila dipanggil,” katanya.

Baca juga:

Katanya, hasil pemeriksaan ultrabunyi mendapati terdapat bengkak dan takungan nanah pada pundi hempedu suaminya. Menurut Hamidah, doktor telah menebuk pundi hempedu untuk mengeluarkan nanah, dan merancang memberikan antibiotik bagi merawat jangkitan tersebut.

Namun, Along terpaksa ditidurkan buat sementara waktu supaya tubuhnya dapat berehat daripada kesakitan yang teramat sangat sehingga menyukarkan prosedur skop dilakukan.

“Tempoh Along akan ditidurkan bergantung kepada kekuatan fizikalnya dan tindak balas organ dalaman. Jika dia kuat dan tiada kerosakan pada organ lain, Insya-Allah dia akan sedar dengan cepat. Kami juga berharap pendarahannya tidak serius malam ini supaya doktor boleh melakukan prosedur skop esok,” jelas Hamidah.

Dalam pada itu, rakan-rakan artis melalui hantaran di media sosial turut menitipkan doa dan harapan agar Along cepat sembuh.

Sumber: Harian Metro

Related Posts