Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan segera sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), susulan dakwaan menyimpang daripada persetujuan bersama dalam Perikatan Nasional (PN).
Desakan itu dibuat selepas tular sepucuk surat daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merupakan jawapan balas kepada surat jemputan pra-majlis (pre-council) Presiden BERSATU bagi membincangkan hala tuju gabungan PN.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu yang digantung berkata, kandungan surat berkenaan membuktikan bahawa Muhyiddin didakwa sengaja menyimpang daripada persetujuan yang telah dicapai sebelum ini, dengan niat untuk kembali memegang jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional.
“Tindakan ini amat mengecewakan kerana ia bukan sahaja mencemarkan imej Perikatan Nasional di mata rakyat, malah berisiko merosakkan hubungan antara BERSATU dan rakan-rakan komponen PN, khususnya PAS,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca juga:
- Wan Fayshal desak Muhyiddin berundur sebagai Presiden parti
- Strategi perlu berubah, BN perlu kuasai digital untuk hadapi PRU-16 – Zahid
- Teo Nie Ching akui kesal gagal iktiraf UEC ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan
Beliau turut menyentuh mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai Presiden parti yang menurutnya tidak mungkin dikenakan sebarang tindakan oleh Lembaga Disiplin, walaupun keputusan dan tindakannya dipertikai.
Namun begitu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa atas kepentingan parti dan demi menjaga hubungan sesama rakan gabungan, Muhyiddin seharusnya mengambil tanggungjawab moral untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap BERSATU dan PN.
“Demi kelangsungan BERSATU dan masa depan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin wajar berundur secara terhormat sebagai Presiden parti,” katanya lagi.









