Bantuan kewangan sebanyak RM20,000 secara one-off yang disalurkan kepada rumah ibadat Hindu bukan diberikan secara automatik, sebaliknya melalui proses penilaian dan kelulusan berperingkat di bawah Program Dharma Madani.
Daripada 915 permohonan yang diterima di seluruh negara, hanya 155 buah kuil diluluskan pada fasa pertama, melibatkan peruntukan RM3.1 juta. Permohonan lain masih dalam proses penelitian mengikut tatakelola dan peraturan semasa.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program tersebut disasarkan kepada 1,000 rumah ibadat Hindu berdaftar dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM20 juta, namun kelulusan dibuat secara berperingkat bagi memastikan dana awam digunakan secara bertanggungjawab.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Kelulusan berfasa, bukan sekali gus
Menurut beliau, semua permohonan diteliti oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan senarai penerima bantuan akan diumumkan dari semasa ke semasa melalui laman sesawang rasmi agensi itu.
Pentadbir kuil turut diingatkan bahawa bantuan yang diterima bukan sekadar peruntukan kewangan, tetapi amanah yang perlu diurus dengan telus, berintegriti serta mematuhi skop kelulusan dan garis panduan ditetapkan.
Setiap perbelanjaan perlu disokong dengan laporan lengkap dan sahih, khususnya bagi program komuniti yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat.
Program Dharma Madani diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos lalu sebagai inisiatif kerajaan bagi membantu rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara melalui bantuan sekali beri.
Sumber: Utusan Online








