Tindakan Ketua Menteri Bihar di India, Nitish Kumar yang menarik niqab seorang doktor wanita Muslim ketika majlis rasmi kerajaan mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas di India serta Pakistan.
Insiden itu berlaku pada Isnin lalu ketika Kumar menyampaikan sijil pelantikan kepada doktor AYUSH(Ayurveda, Yoga & Naturopathy, Unani, Siddha, and Homoeopathy), Nusrat Parveen, dalam satu acara di Patna. Rakaman video tular menunjukkan Kumar memberi isyarat agar Parveen menanggalkan niqab sebelum bertindak menariknya sendiri tanpa keizinan, sekali gus mendedahkan bahagian wajahnya di hadapan khalayak ramai.
Situasi itu mengejutkan Parveen, sementara beberapa individu di atas pentas dilihat hanya cuba menghalang secara sambil lewa, malah ada yang ketawa.
Memetik laporan Dawn, kejadian tersebut disifatkan ramai sebagai satu pencabulan maruah, kebebasan beragama dan hak peribadi wanita.
Majlis Hak Asasi Manusia Pakistan mengecam keras tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai ‘memalukan, tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima’, serta menggesa kerajaan India menjalankan siasatan segera dan telus. Mereka turut menuntut permohonan maaf rasmi kepada mangsa dan tindakan tegas bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Susulan kejadian itu, timbul ketidaktentuan sama ada Nusrat Parveen akan menyertai perkhidmatan kerajaan. Menurut ahli keluarganya, Parveen masih trauma dan terkejut, malah kini berada bersama keluarganya di Kolkata. Beliau dilaporkan cenderung untuk tidak menerima tawaran kerja tersebut.
The New Indian Express pula melaporkan, Parveen berkata insiden itu sangat mengaibkan dan memberi kesan mendalam kepadanya sebagai seorang wanita Muslim yang sejak kecil berpegang kepada pemakaian hijab sebagai sebahagian budaya dan identiti diri.
Tindakan Kumar turut menerima kritikan keras daripada parti pembangkang di India yang mendesak beliau memohon maaf secara terbuka, sambil mempersoalkan komitmennya terhadap agenda pemerkasaan wanita.








