Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil produk suplemen yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menurut PKKM, semakan awal mendapati produk suplemen berkenaan mengandungi bahan aktif Glutathione, iaitu bahan yang disenaraikan di bawah Negative List dalam Drug Registration Guidance Document (DRGD).
“Selain itu, hasil semakan juga mendapati produk ini dijual secara meluas di laman e-dagang dan media sosial. Oleh itu, produk terbabit tidak mematuhi Seksyen 13B (2)(d) Akta Makanan 1983, yang melarang penambahan bahan tidak dibenarkan ke dalam makanan,” katanya.
PKKM menjelaskan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan serta maklumat terperinci berkaitan produk berkenaan termasuk pelabelan, bahan ramuan, premis pengeluar, pengimport dan pengedaran di pasaran tempatan.
“Usaha mengesan sumber utama dakwaan tersebut juga sedang giat dijalankan bagi memastikan ketulenan maklumat yang tular. Berdasarkan carian awal, tiada sebarang kiriman daripada keluarga atau kenalan rapat mangsa yang mengesahkan berlaku kematian akibat pengambilan suplemen itu,” jelasnya.
Baca juga:
- Pelajar UCYP terima sijil penghargaan, bantu lancarkan pergerakan ambulans ke HTAA
- Kerajaan kekal iktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di- Pertuan Negeri Sembilan
- Tunku Nadzaruddin ditabal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12

PKKM turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 03-88850796 atau menghantar emel ke knkbkkm@moh.gov.my
“PKKM akan terus memantau isu ini dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, tular dakwaan bahawa seorang wanita meninggal dunia selepas mengambil suplemen yang dibeli dalam talian. Suplemen berharga RM20 itu dikatakan kononnya mampu mencerahkan kulit.
Sumber: Harian Metro








