Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Daerah Malang, Indonesia mencetuskan perhatian selepas membuat laporan polis terhadap ibunya sendiri kerana dipukul menggunakan penyapu. Siasatan mendapati insiden itu hanyalah salah faham dan diselesaikan secara baik.
Menurut jurucakap polis daerah Malang, Asisten Superintendan Polis, Bambang Subinajar, remaja berkenaan yang hanya dikenali sebagai ‘TFS’ membuat laporan menerusi talian kecemasan 110 pada Sabtu (1 November 2025). Anggota dari Balai Polis Tumpang kemudian datang ke rumah tersebut untuk membuat pemeriksaan.
Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila ibu remaja itu, ‘S’, 45, meminta anaknya melipat selimut dan mengemas cadar di tempat tidur. Namun, permintaan itu tidak diendahkan dan TFS meneruskan aktivitinya bermain telefon.
Berang dengan sikap anaknya, wanita itu memukul remaja berkenaan tiga kali menggunakan sapu, menyebabkan lebam ringan pada tangan dan paha.
Baca juga:
- Zohran Mamdani jadi Datuk Bandar muslim pertama
- Remaja lapor polis gara-gara dipukul ibu guna penyapu
- Ahli Parlimen Korea mohon maaf selepas ‘kantoi’ melukis gorila
Bambang bagaimanapun menjelaskan tindakan itu bukan bertujuan mendera, sebaliknya teguran keras kerana anaknya enggan membantu melakukan kerja rumah.
Selepas insiden, si ibu keluar bekerja di kebun. Dia tidak menyangka anaknya tergamak membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.
Selepas diberi penjelasan, polis mendapati kejadian itu hanyalah salah faham di antara anak dan ibu. Polis kemudian memanggil ibu dan anak berkenaan hadir ke balai untuk berbincang.
Kes itu akhirnya diselesaikan secara kekeluargaan apabila kedua-duanya saling memaafkan dan menandatangani surat persetujuan bersama. Polis turut menasihati TFS agar lebih berdisiplin.
Sumber: Kompas









