Ahli Parlimen Korea mohon maaf selepas ‘kantoi’ melukis gorila | The Reporter

Ahli Parlimen Korea mohon maaf selepas ‘kantoi’ melukis gorila

Ahli Parlimen Korea Selatan Yoo Young-ha memohon maaf selepas ‘kantoi’ melukis gorila semasa sesi audit di Parlimen.
Tangkap layar video tular Yoo Young-ha melakar gambar gorila semasa sesi di Parlimen.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Korea Selatan daripada People Power Party, Yoo Young-ha, tampil memohon maaf selepas tular rakaman menunjukkan beliau melukis gambar seekor gorila pada skrin komputer riba ketika sesi audit Parlimen baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Yoo berkata beliau kesal kerana kelihatan tidak fokus semasa sesi berkenaan.

“Saya minta maaf kerana menunjukkan kurang tumpuan semasa sesi audit,” katanya.

Menurut Yoo, lukisan gorila itu tidak mempunyai sebarang maksud tersirat dan dilakukan secara spontan.

“Ramai yang ingin tahu mengapa saya melukis gorila, namun sebenarnya tiada makna di sebaliknya.

“Kadangkala sebelum sesi soal jawab, saya melukis karikatur haiwan untuk meredakan ketegangan. Jika saya berasa kecewa selepas bertanya soalan kerana penyampaian saya tidak lancar, saya melukis untuk menenangkan diri,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa aktiviti melukis haiwan itu hanyalah cara peribadinya untuk menghilangkan tekanan.

“Biasanya saya melukis selama 10 hingga 30 saat sahaja. Kadangkala saya tunjuk kepada rakan-rakan ahli Parlimen, dan kami ketawa bersama untuk mengurangkan tekanan.

“Selalunya saya melukis kecil sahaja, tapi lukisan gorila kali ini sedikit besar, jadi ambil masa beberapa minit. Saya tidak lukis sekaligus, hanya sedikit demi sedikit ketika ada masa terluang,” katanya.

Yoo turut menambah, beliau masih memberi perhatian kepada sesi soal jawab lain semasa melukis.

“Saya tetap mendengar soalan daripada ahli lain, membuat nota dan kajian, jadi saya lakar dengan cepat dan ringkas. Disebabkan ia gambar gorila, saya ambil sedikit masa tambahan untuk membuat lorekan pensil bagi memberi kesan bayang,” ujarnya.

Baca juga:

Ahli Parlimen itu menegaskan bahawa tiada niat atau mesej politik di sebalik lukisan tersebut.

“Saya melukis gorila tanpa sebarang niat, saya hanya lakar kerana belum pernah melukisnya sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, tular video merakamkan Yoo sedang melukis gorila sambil merujuk gambar di skrin komputernya semasa audit Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Politik mencetuskan perdebatan tentang etika dan tumpuan wakil rakyat ketika persidangan.

@ifenglobal

🦍💼 #SouthKorean lawmaker Yoo Yeong-ha was caught sketching a giant gorilla right in the middle of a parliament session. #Korea#gorilla#animals#funny #Viral#fyp#viralreels#viralvideos#southkorea#korea #slackingoff

♬ 原聲 – ifenglobal – ifenglobal

Susulan itu juga, Yoo berkata beliau menerima kritikan dengan hati terbuka dan menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran.

“Apa pun, saya mohon maaf kerana kelihatan tidak fokus semasa audit. Saya tidak akan mengelak daripada kritikan. Saya telah menghadiri mesyuarat dengan penuh tanggungjawab dan bersiap sedia, namun detik singkat kehilangan fokus memberi saya pengajaran berharga.

“Saya tidak boleh ubah apa yang telah berlaku, tetapi akan mencari cara lain untuk mengurus tekanan selepas ini,” jelasnya.

Sumber: The Chosun Daily

Related Posts