Rakyat Malaysia maut ditembak 8 das di depan isteri sarat mengandung | The Reporter

Rakyat Malaysia maut ditembak 8 das di depan isteri sarat mengandung

Seorang lelaki Malaysia maut ditembak di rumahnya di Golok, Thailand, dipercayai selepas pertikaian dengan individu dikenali, di depan isteri yang hamil.
Rakyat Malaysia maut ditembak 8 das di depan isteri sarat mengandung; suspek pernah beri amaran sebelum ini. | Sumber gambar: Media sosial

Seorang rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut selepas ditembak di kediamannya di Suhang, Sungai Golok, Thailand, malam tadi. Insiden dipercayai berpunca daripada perselisihan peribadi dengan suspek yang dikenali.

Mangsa sebelum itu dikatakan cedera parah ditembak kira-kira jam 6.40 petang (waktu Thailand) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam ketika dirawat di Hospital Sungai Golok.

Ibu mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 64, berkata beliau dimaklumkan menantunya, Wan Fatihah Mat Husin, 35, yang menyaksikan kejadian berlaku di depan mata.

“Menantu telefon dalam keadaan menangis, memaklumkan anak saya ditembak dipercayai lapan das tembakan termasuk di dada.

“Sebaik tiba di hospital, menantu memaklumkan keadaan anak saya kritikal dan tidak boleh diselamatkan kerana tembakan mengenai organ penting sebelum anak saya disahkan meninggal dunia sekitar jam 9 malam tadi,” katanya.

Baca juga:

Menurut Zaiton, suspek dikenal pasti individu yang pernah menimbulkan masalah terhadap keluarga mangsa. Beliau mendakwa, rumah anaknya pernah ditembak sebagai amaran beberapa bulan lalu.

Katanya, ada pihak yang mengaitkan isu hutang sebagai punca, namun beliau menegaskan arwah tidak berhutang. Sebaliknya suspek didakwa menipu wang menantunya RM2,000, namun mangsa memilih untuk menghalalkan jumlah itu.

“Dia pernah cerita lelaki itu tak puas hati dengannya walaupun isu sudah selesai,” kata Zaiton.

Polis di Thailand memaklumkan, sepucuk pistol 9mm ditemui di lokasi kejadian dan usaha mengesan suspek masih dijalankan.

Isteri sarat hamil bakal lahirkan anak bulan depan

Lebih memilukan, arwah dijangka menyambut kelahiran anak sulung bulan depan, pada hari lahirnya sendiri.

“Arwah baru pulang ke rumah di Pasir Mas pada Khamis. Macam biasa dia peluk dan cium kami sebelum kembali ke Golok. Tak sangka itu yang terakhir,” kata ibunya.

Mangsa yang merupakan anak keempat daripada enam beradik menetap di Golok bersama isteri dan berniaga beg serta batu permata dalam talian.

Jenazah dijangka dibawa pulang selepas Zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Lubuk Surau, Pasir Mas.

Sumber: Harian Metro

Related Posts