Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali menggesa kerajaan mengembalikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada dasar asal penubuhannya dengan melaksanakan pendidikan tinggi percuma kepada semua bumiputera, tanpa mengira latar ekonomi.
Beliau menegaskan pendidikan percuma bukan tuntutan populis, sebaliknya pelaksanaan hak yang dijamin di bawah Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menurutnya merangkumi keistimewaan dalam akses pendidikan untuk bumiputera.
Kerajaan belum tunaikan janji
Ibrahim mendakwa Kerajaan Madani masih belum menunaikan janji pendidikan percuma, meskipun pernah disuarakan sebelum ini.
Katanya, pelaksanaan di UiTM tidak boleh dilihat sebagai isu dasar baharu atau janji politik semata-mata, sebaliknya “tanggungjawab perlembagaan” yang perlu ditunaikan.
“Kerajaan boleh berkompromi dalam hal ekonomi, tetapi tidak boleh berunding dalam amanah bangsa.”
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Pelaburan sosial strategik
Beliau membandingkan pendekatan beberapa negara maju seperti Jerman, Jepun dan Korea Selatan yang menurutnya membuktikan bahawa pendidikan tinggi percuma bukan beban fiskal, tetapi pelaburan sosial jangka panjang.
Ibrahim berkata UiTM sendiri telah melahirkan lebih 900,000 graduan bumiputera dalam pelbagai bidang profesional, sekali gus menjadi tunjang perkembangan ekonomi negara.
“UiTM bukan beban fiskal, tetapi kilang peradaban yang menempa bangsa Melayu menjadi pemangkin kemajuan negara.”
Tidak terhad kepada B40
Ibrahim menegaskan pendidikan percuma di UiTM tidak boleh dihadkan kepada kumpulan B40 sahaja kerana ia merupakan hak bumiputera selaras dengan Fasal 153.
“Sekadar membiayai B40 bukan menunaikan amanah Fasal 153. Yang wajib ialah menegakkan hak pendidikan bangsa secara menyeluruh.”
Menurutnya, UiTM mempunyai peranan besar dalam membina bakat bumiputera, dan pelaksanaan pendidikan percuma secara menyeluruh akan memperkukuh kedudukan bumiputera dalam bidang ilmu serta pembangunan negara.
Sumber: Sinar Harian








