Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata kerajaan kini sedang merancang langkah untuk menyita akaun bank bekas suami yang culas membayar nafkah kepada anak dan bekas isteri.
Menurut beliau, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan tindakan itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.
Dr. Mohd Na’im menjelaskan, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan keadilan dan kebajikan keluarga, khususnya wanita serta anak-anak, terus terjamin.
Katanya lagi, kerajaan juga sedang memperkukuh kerjasama dengan beberapa agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Baca juga:
- Bekas suami culas bayar nafkah berdepan sitaan kewangan
- ‘Rukun nikah cukup, maka nikah sah’ – Dr. Rozaimi Ramle
- Mufti Besar Arab Saudi meninggal dunia
Kerjasama itu bertujuan mengesan majikan dan alamat terkini penghutang penghakiman bagi memudahkan tindakan lanjut di bawah perintah Mahkamah Syariah terhadap individu yang gagal menunaikan tanggungjawab nafkah.
Tambah beliau, usaha jangka panjang ini bukan sahaja menjamin keberkesanan perkhidmatan BSK, malah memperkukuh sistem kehakiman syariah demi menjaga hak wanita, kebajikan anak-anak dan kesejahteraan institusi kekeluargaan Islam di negara ini.
Dalam hantaran di Facebook pula, Dr. Mohd Naim menegaskan tiada lagi alasan bagi mana-mana pihak mengelak daripada tanggungjawab nafkah yang telah ditetapkan secara sah oleh undang-undang.
”Saya menyeru kepada semua pihak, khususnya para bekas suami, untuk bertanggungjawab dan mematuhi perintah Mahkamah tanpa perlu menunggu tindakan penguatkuasaan diambil. Kewajipan nafkah adalah tuntutan agama dan undang-undang yang perlu dipenuhi.
“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk institusi kewangan, untuk memastikan pelaksanaan penguatkuasaan ini berjalan lancar dan berkesan,” katanya.









